ISKANDAR PUTERI – Tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan tekad memberi aksi terbaik jika beraksi dalam kesebelsaan utama berdepan Bangkok United FC pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, esok.
Setelah berehat panjang akibat kecederaan katanya, kepercayaan daripada pengendali skuad Harimau Selatan, Xisco Munoz, terhadapanya untuk kembali beraksi ketika berdepan Imigresen FC, 28 Ogos lalu, selain sokongan barisan kejurulatihan banyak membantunya untuk kembali berada pada tahap kecergasan terbaik.
“Bagi pemain bola sepak, sudah tentu kemenangan dan persaingan sangat penting. Saya berada dalam keadaan terbaik sekarang dan jurulatih percaya dengan kemampuan saya.
“Jika diturunkan, sudah pasti saya akan berikan yang terbaik untuk pasukan dan memastikan kejayaan,” katanya dalam sidang media menjelang perlawanan itu, hari ini.
Pemain kelahiran United Kingdom itu berkata, jika diberikan peluang beliau akan lakukan tugas dengan baik.
“Lagi pun, pasukan ini memiliki ramai pemain tengah yang baik; jadi saya perlu bersedia,” ujarnya.
Sementara itu, pemain tengah Bangkok United, Kyoga Nakamura menyifatkan pemain JDT yang memakai jersi bernombor 25 (Joao Figueiredo) sebagai pemain yang perlu diberikan perhatian dan kawalan ketat pada perlawanan berkenaan.
Katanya, Figueiredo kini dilihat berada pada prestasi terbaik dan jika tidak dikawal, boleh mengundang padah buat skuad Bangkok Angels itu.
“Sebenarnya saya rasa cukup bertuah dan gembira kerana berpeluang beraksi dalam saingan ACC ini.
“Saya berpeluang beraksi bersama-sama pemain-pemain terbaik dari seluruh Asia Tenggara dan pada perlawanan petang esok (Khamis), saya rasa pemain yang perlu diberikan kawalan oleh pertahanan kami adalah pemain nombor 25, JDT,” katanya.- MalaysiaGazette
















