ISKANDAR PUTERI – Pengendali Bangkok United FC, Totchtawan Sripan yakin skuad kendaliannya akan dapat memberikan aksi terbaik pada saingan Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) esok susulan penggunaan rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim di sini.
Malah menurut bekas pemain kebangsaan Thailand era 90-an itu, penggunaan rumput berkenaan turut menjanjikan aksi berkualiti daripada kedua-dua pasukan dalam usaha meraih tiga berharga.
“Penggunaan rumputu jenis Zeon Zoysia ini sama seperti yang kami gunakan di Stadium Pathurn Tani dan oleh itu, sudah tentu tiada masalah untuk berdepan JDT yang memiliki reputasi hebat dalam saingan ACC kali ini.
“Apa pun, kami tetapi enggan terlalu meletak sasaran tinggi sebaliknya mahu memberi sepenuh fokus sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya pada sidang media hari ini.
Lagi pun, menurut Totchtawan, pihaknya berdepan jadual yang padat selepas aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2 dan perlu menentang Buriram United dalam aksi Liga Thailand 1 (Liga Thai 1) dan tewas 1-2 dan pemain agak kepenatan.
“Ada pemain yang mengalami kecederaan tapi kami melakukan penggiliran pemain dan bersedia untuk berdepan JDT,” katanya.
Sementara itu, Totchtawan berkata, kekalahan kepada Buriram United dalam saingan Liga Thailand baru-baru ini tidak akan menjejaskan tumpuan pemain menjelang aksi ACC berdepan JDT.
Katanya, keadaan mental dan keyakinan pemain masih berada di tahap tinggi dan mereka bersedia untuk beraksi mengikut perancangan yang telah diatur.
“Sebenarnya, setiap pasukan memiliki identiti dan ciri-ciri sendiri malah anda tidak samakan kami dengan JDT kerana mereka merupakan pasukan hebat di rantau Asia Tenggara.
“Kami tidak akan terikut-ikut gaya permainan mereka sebaliknya mengamalkan corak permainan yang kami selalu pratikkan dalam usaha memburu kejayaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















