Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Kerajaan berharap beberapa peserta bot Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk 34 rakyat tempatan yang diserang dron ketika pelayaran ke Gaza dapat menghadapi cabaran itu dengan cekal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya usaha yang baik rombongan kemanusiaan itu untuk menamatkan krisis kebuluran dalam kalangan umat Islam di Palestin akan dipermudahkan.

“Kita harap mereka cekal untuk menghadapi apa juga ancaman daripada Israel. Tapi niat yang baik pada hemat saya, ia akan menghasilkan sesuatu yang baik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiring Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melakukan gimik pelancaran Ikon Desa pada Majlis Peluncuran Ikon Desa di Souq, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2025

Terdahulu beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merasmikan IkonDesa@Putrajaya di Souq Putrajaya petang tadi.

Semalam, media melaporkan kapal Alma yang dinaiki 34 sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF dilaporkan diserang 15 dron.

Perkara itu disahkan salah seorang sukarelawan, yang juga Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman menerusi hantaran di Facebook pagi Rabu.

Terdahulu, Ahmad Zahid berhubung dengan Ahmad Musa Al-Nuwayri dan ketua misi itu memaklumkan kapal-kapal flotilla kini semakin hampir dengan zon kritikal.

Mereka kini berdepan pelbagai gangguan, ancaman termasuk letupan berhampiran laluan pelayaran, kehadiran dron tidak dikenali dan gangguan komunikasi.

Seramai 34 delegasi Malaysia termasuk 25 lelaki dan sembilan wanita merupakan sebahagian dari 53 kapal flotilla bersama tiga kapal pemerhati yang disertai wakil dari lebih 45 negara.

Selain itu, Ahmad Zahid juga percaya rombongan kemanusiaan itu bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk serangan ketenteraan rejim Israel.

“Tadi mereka berada di lokasi kira-kira 750 batu nautika dari Gaza dan mereka malam tadi diserang dengan dron dan mereka memang telah bersedia untuk menghadapi perkara itu,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid sendiri akan menghubung kesemua 34 degelasi Malaysia dalam misi kemanusiaan itu pada Khamis ini.

“Esok saya akan bercakap dengan 34 pada keseluruhannya rakyat Malaysia yang berada di kapal flotilla berkenaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast