Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Hi-Tea di LADO By The Lake, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2025.

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) optimis mencapai sasaran kutipan zakat keseluruhan tahun 2025 berjumlah RM1.328 bilion termasuk RM205 juta daripada zakat perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, sehingga kini, LZS telah menerima lebih RM117 juta zakat perniagaan daripada 8,500 syarikat.

“Angka ini memberi petanda positif bahawa kesedaran korporat semakin meningkat. Setiap sen zakat bukan sekadar angka, tetapi amanah dan harapan buat lebih 78,000 keluarga asnaf di Selangor yang memerlukan sokongan asas dalam kehidupan mereka,” katanya pada Majlis Hi-Tea Bersama Pengeluar Zakat anjuran LZS dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) di sini hari ini.

Turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berkenan mencemar duli menyaksikan penyerahan zakat kepada Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang.

Program kali ini turut menekankan kerjasama erat bersama YRMS yang komited memperkasa potensi belia, pendidikan dan keusahawanan dalam kalangan B40 serta asnaf, selaras dengan aspirasi Tengku Amir.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan penyerahan zakat oleh wakil D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, Ammar Ahyan kepada Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang pada Majlis Hi-Tea di Taman Tasik Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2025.

Sementara itu, majlis tersebut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM6,123,299.05 oleh 22 syarikat korporat kepada LZS sekali gus memperkukuh peranan korporat dalam menunaikan tanggungjawab zakat di Selangor.

Antara penyumbang utama ialah Dherbs Holdings Sdn Bhd (RM900,000), XpertsCo Sdn Bhd (RM624,161.30), Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (RM599,160.82), Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (RM550,000), Bawal Sdn Bhd (RM500,000), dan Public Islamic Bank Berhad (RM400,000).

Worldwide Holdings Berhad turut menyerahkan dana wakalah agihan zakat bernilai RM200,000 untuk disalurkan kepada program kebajikan, pendidikan dan pembangunan
belia yang diusahakan oleh YRMS.

Mengulas lanjut, Mohd Khaidzir berkata, penglibatan syarikat dalam wakalah zakat dan kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) membuktikan bahawa zakat bukan hanya ibadah kewajipan tetapi juga instrumen sosial yang memberi impak berganda kepada masyarakat.

Katanya, LZS menyeru lebih banyak syarikat untuk menunaikan zakat perniagaan secara berterusan dan sistematik, seterusnya memperkukuh budaya korporat yang berjiwa besar. – MalaysiaGazette

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan penyerahan zakat oleh Pengasas CTDK Holdings Berhad, Datuk Seri Siti Nurhaliza kepada Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang pada Majlis Hi-Tea di Taman Tasik Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2025.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast