Dr Sufian Jusoh (tiga kanan) dan Pro-Naib Canselor (Provost dan Timbalan Naib Canselor) University of Nottingham, Prof Sam Kingman (tiga kiri) bersama delegasi dari UKM dan wakil dari University of Nottingham bergambar pada Majlis Penandatanganan Memorandum PErsefaham yang di adakan di United Kingdon, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalinkan kerjasama dengan University of Nottingham (UoN), United Kingdom bagi meneroka bidang Epidemiologi Genomik Kanser.
Kerjasama ini juga  memperkukuh penglibatan UKM dalam rangkaian rakan strategik percubaan klinikal.
Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh berkata, kerjasama ini  membuka ruang kolaborasi akademik, malah memperkukuh kedudukan UKM dalam penyelidikan dan inovasi yang memberi impak langsung kepada masyarakat antarabangsa.
“Pemeteraian MoU (memorandum persefahaman) ini adalah bukti komitmen UKM untuk menjadi peneraju serantau dalam pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia,” jelas beliau.
MoU yang diadakan di NoU, United Kingdom baru-baru ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UKM, dengan disaksikan oleh Dekan Fakulti Perubatan, Prof Datin Dr Marina Mat Baki dan Timbalan Dekan merangkap Penyelaras MoU, Prof Dr Mohamad Nasir Shafiee.
Manakala bagi pihak UoN, penandatanganan dilakukan oleh Pro-Naib Canselor (Provost dan Timbalan Naib Canselor), Profesor
Sam Kingman; dengan disaksikan oleh Pro-Naib Canselor Bersekutu (Global Engagement), Profesor Nigel Mongan dan Ketua Pegawai Strategi Interim, Kylie Calvin.
Prof Dr Sufian berkata, MoU tersebut menandakan era baharu bagi UKM dalam memacu agenda global.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Datin Dr Marina berkata, kerjasama itu tersebut memberi peluang besar kepada Fakulti Perubatan UKM untuk memperluas penyelidikan translasi, memperkukuh mobiliti pelajar serta perkongsian kepakaran antara dua pihak.
“Saya yakin kerjasama ini akan mempercepat agenda kecemerlangan pendidikan perubatan dan memberi nilai tambah kepada sistem kesihatan negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk melahirkan pakar perubatan yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Melalui MoU ini, UKM akan memperluas kerjasama dalam teknologi bioterapeutik bagi rawatan kanser rahim, yang telah mula dibangunkan oleh kumpulan Penyelidikan Reproduktif Universiti di bawah pimpinan Prof Dr Mohamad Nasir Shafiee.
Selain itu, kedua-dua pihak akan memberi komitmen dalam menjayakan pelbagai inisiatif strategik yang bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti akademik, tetapi juga menyumbang kepada penyelesaian cabaran kesihatan dan pembangunan global.
UKM dan UoN bersetuju untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama termasuk pembangunan program akademik bersama, pertukaran staf dan pelajar, pelaksanaan penyelidikan kolaboratif, perkongsian sumber ilmiah dan teknologi, serta pembangunan kapasiti dan latihan dalam bidang kesihatan.
Kerjasama ini dijangka memperkukuh hubungan dua hala bukan sahaja dalam bidang perubatan, tetapi juga dalam disiplin ilmu lain yang menyokong pembangunan kesihatan, kelestarian dan kesejahteraan masyarakat sejagat.
UKM, sebagai salah sebuah universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia, sentiasa menekankan kepentingan jaringan antarabangsa dalam mencapai kecemerlangan akademik dan penyelidikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast