KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Cabang Keadilan Seremban, Gary Muthu melahirkan kecewa dengan kritikan dilemparkan terhadap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan baru-baru ini.
Katanya, ada pihak dengan sengaja mengkritik tanpa melihat rekod prestasi Ramanan yang membuktikan pencapaian nyata dalam memperkasa komuniti India.
Menurut Gary, pelbagai inisiatif strategik digerakkan sejak Ramanan dilantik timbalan menteri khususnya dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.
“Serangan segelintir pihak hanya mencerminkan politik lama yang tidak membantu menyelesaikan isu sebenar masyarakat. Sebaliknya, Ramanan turun padang, mendengar suara rakyat dan melaksanakan program yang benar-benar memberi kesan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, antara inisiatif yang diketengahkan termasuk peluasan Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan pelaksanaan SPUMI Goes Big melalui TEKUN Nasional yang membuka akses pembiayaan lebih luas untuk membantu usahawan India mengembangkan perniagaan.
“Bagi golongan wanita, program Prosperity, Empowerment and a New Normal for Indian Women (PENN) melalui Amanah Ikhtiar Malaysia memberi ruang pemberdayaan ekonomi secara inklusif.
“Selain itu, Bank Rakyat turut memperkenalkan skim khas Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) untuk memudahkan modal usahawan wanita dan perniagaan baharu.
“Sementara itu, India Business Accelerator Programme (I-BAP) yang dilaksanakan SME Corp dengan peruntukan RM6 juta, turut dilihat sebagai dorongan baharu bagi meningkatkan kapasiti syarikat India dan memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya lagi.
Tambah Gary, inisiatif Ramanan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperkenalkan Geran Bakti MADANI iaitu geran pertama seumpamanya dalam tempoh 100 tahun khusus untuk koperasi komuniti India bertujuan mengukuhkan ekonomi di peringkat akar umbi.
“Sehingga kini, lebih 30,000 usahawan India di seluruh negara telah menerima manfaat langsung daripada pelbagai program ini. Ini bukan sekadar janji, tetapi hasil kerja nyata kerajaan Madani,” tegasnya.
Beliau berkata, rekod tersebut menunjukkan Ramanan bukan sahaja berjaya menyalurkan dasar ke peringkat pelaksanaan.
Gary juga menyifatkan pendekatan turun padang dan hubungan rapat Ramanan dengan komuniti sebagai faktor utama keberkesanan inisiatif yang digerakkan.
“Komuniti India memerlukan dasar praktikal bukan retorik. Apa yang dilakukan oleh Ramanan membuktikan kepimpinan beliau memberi hasil, justeru wajar dihargai,” katanya. – MalaysiaGazette
















