Keadaan kereta yang dirempuh penunggang motosikal ketika keluar dari simpang di persimpangan Jalan Besar/Jalan Keluli, Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Seorang pemuda maut selepas motosikalnya melanggar sebuah kereta yang keluar dari simpang di persimpangan Jalan Besar/Jalan Keluli di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Polis Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan kereta Honda Accord.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang berusia 26 tahun sedang bergerak lurus di Jalan Besar menghala ke Jalan Pekelilig.

“Tiba-tiba Honda Accord tersebut yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 26 tahun telah keluar dari simpang Jalan Keluli 7 membelok ke kanan hendak memasuki Jalan Besar,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta tersebut dan mengakibatkan cedera parah di bahagian kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu tersebut pula mengalami luka-luka ringan di bahagian muka.

Beliau memberitahu, siasatan dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu terbabit sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

Pihaknya meminta saksi kejadian tampil dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis menerusi talian 07-3864222 bag membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast