BAITULMAQDIS – Pesawat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengambil laluan luar biasa ke New York pada Khamis, mengelilingi beberapa negara Eropah dalam perjalanan ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Walaupun Perancis telah membenarkan Israel menggunakan ruang udaranya, namun menurut sumber diplomatik kepada AFP, data pengesanan penerbangan menunjukkan pesawat Netanyahu mengambil laluan selatan.
Pesawat berkenaan merentasi Greece dan Itali, kemudian membelok ke selatan melalui Selat Gibraltar sebelum menuju ke Atlantik.
Britain, Perancis dan Portugal adalah antara rentetan negara yang mengiktiraf negara Palestin minggu ini, satu tindakan yang ditentang keras oleh Netanyahu. Ireland dan Sepanyol mengumumkan pengiktirafan mereka pada bulan Mei.
Media Israel pula melaporkan lencongan oleh pesawat Netanyahu bertujuan untuk mengelak negara yang menandatangani Statut Rom, yang boleh menguatkuasakan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa sekiranya berlaku pendaratan cemas.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November lalu mengeluarkan waran untuk Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang yang dilakukan semasa serangan tentera Israel di Gaza.
Sepanyol minggu lalu mengumumkan akan menyokong siasatan ICC dan telah menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Gaza, sebagai sebahagian daripada usaha meluasnya untuk menekan Israel untuk menamatkan perang.
Netanyahu dijadualkan berucap di Perhimpunan Agung PBB pada hari Jumaat.
Dia juga dijadualkan bertemu Presiden Donald Trump di White House minggu depan. – Agensi
















