PUTRAJAYA – Perdana Menteri mengingatkan orang ramai supaya tidak gopoh beratur panjang di stesen minyak hujung bulan ini selepas pengumuman penurunan harga RON95 pada harga RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI MADANI (BUDI95).
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata, rakyat diminta menunggu beberapa hari untuk berbuat demikian kerana beralasan harga bahan itu akan kekal seperti yang telah dijanjikan kerajaan.
“Saya minta saudara-saudara (rakyat) jangan cepat gopoh isi minyak 30 September ini. Tunggu dua atau tiga hari, harga masih sama.
“Tidak payah semua nak beratur isi minyak dan KPS (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) pastikan tidak pegawai Kementerian Kewangan pergi ambil minyak pada 30 September, sebab itu kita buat secara berperingkat mulai esok,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau menegaskan, langkah kerajaan menurunkan harga bahan api itu adalah unik kerana hampir tiada negara lain yang melaksanakannya ketika berdepan dengan kenaikan kos sara hidup rakyat.
“Cuba (cari dalam) Google atau tanya GPT, mana ada negara yang menurunkan harga minyak sekarang. Malaysia berani melakukannya kerana kita dengar suara rakyat dan ambil kira kestabilan ekonomi,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menekankan kejayaan penyasaran subsidi ini hasil tata kelola yang baik, kawalan ketirisan serta usaha serius membanteras rasuah dalam pentadbiran kerajaan.
“Kalau kita lihat, Arab Saudi sendiri menjual minyak lebih tinggi iaitu 60 hingga 90 sen seliter, Qatar juga begitu. Malaysia boleh kekalkan harga rendah kerana pengurusan kewangan dan sokongan penjawat awam yang berkesan,” jelasnya.
Beliau berkata, cadangan awal untuk menyasarkan subsidi secara menyeluruh tidak dilaksanakan kerana boleh menimbulkan keresahan rakyat khususnya golongan pertengahan yang masih menanggung kos hidup tinggi.
“Kalau keluarga berpendapatan RM15,000 hingga RM18,000 ada enam anak di universiti, menafikan (hak) mereka (ke atas) subsidi minyak akan timbulkan masalah.
“Jadi kita pilih pendekatan sederhana yang lebih adil,” katanya lagi.
Menurutnya, penjimatan hasil daripada langkah itu membolehkan kerajaan mengurangkan beban subsidi, mengekang kebocoran kewangan serta mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan. Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 bermula tarikh sama.
Rakyat Malaysia boleh mula membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan mulai 9 pagi semalam.
Portal rasmi www.budimadani.gov.my kini dibuka untuk semakan profil kelayakan dan baki penggunaan subsidi bulanan. – MalaysiaGazette
















