KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe mendakwa reformasi subsidi petrol Program Bantuan Subsidi Madani RON95 (BUDI95) yang disokong bersyarat oleh Bank Dunia membuktikan ia satu keputusan tidak matang.
Ia juga tidak menyeluruh, mundur serta gagal menyelesaikan masalah struktur subsidi kerajaan, dakwanya.
Jelas Dominic, pelaksanaan sistem dwi-harga minyak yang kelihatan seolah-olah adil sebenarnya merupakan dasar yang tidak dipertimbangkan dengan baik.
“Atas nama meneruskan usaha reformasi Anwar, namun sebenarnya ia adalah ‘ubah tetapi tidak reformasi’ kerana pada akhirnya, pihak yang benar-benar mendapat manfaat masih lagi golongan T20 yang sebelum ini pernah dianggap Anwar tak wajar menerima subsidi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
BUDI95 yang diumumkan minggu lalu membolehkan rakyat Malaysia membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter sehingga 300 liter sebulan, manakala bagi bukan warganegara harga ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula 30 September ini.
Dalam pada itu, Dominic turut mengkritik kepimpinan Anwar yang menurutnya gagal menepati janji reformasi sejak mengambil alih pentadbiran negara.
Dominic berkata, lebih dua tahun masa telah terbuang dengan dasar-dasar yang hanya indah khabar dari rupa.
“Subsidi petrol RON95 adalah contoh yang paling jelas selepas lebih setahun berputar-putar dengan pelbagai cadangan dan kajian, akhirnya muncul skim yang menyebabkan keluarga B40 yang tidak memiliki kereta langsung tidak mendapat manfaat.
“Skim ini gagal mencapai matlamat asal untuk menjimatkan subsidi petrol RON95 malah kerana tidak bersasar, ia juga tidak membantu mengurangkan keperluan kerajaan untuk berhutang.
“Oleh itu, impaknya terhadap penstrukturan semula fiskal kerajaan tidak besar. Tambahan pula, jika harga minyak dunia meningkat, ia akan menambah beban kewangan kerajaan,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau menyindir Anwar yang pada awalnya naik dengan imej Bapa Reformasi dan kelihatan berani menentang rasuah serta ahli politik yang korup.
Namun, katanya, apabila duduk sebaris dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, imej itu hancur dan digantikan dengan kompromi serta pengorbanan prinsip demi kuasa.
“Saya pada asalnya menaruh harapan besar bahawa Anwar mahu melakukan reformasi fiskal untuk mengurangkan defisit dan hutang negara.
“Tetapi apabila melihat beliau terus menerus membuat pinjaman baharu demi melaksanakan dasar populis tanpa mempertimbangkan masa depan negara, saya mula bimbang sekiranya beliau terus diberi peluang memimpin untuk satu penggal lagi, adakah hutang negara akan menembusi paras RM1.5 trilion?” soal beliau.
Dominic menegaskan, negara memerlukan seorang Perdana Menteri yang praktikal dan berupaya memimpin bukan seorang yang hanya pandai menonjolkan diri.
Katanya, setiap kali pasaran saham atau nilai ringgit naik, Anwar segera menuntut pujian sebagai kejayaan diri tetapi apabila ringgit dan pasaran saham merosot, semuanya dipersalahkan pada faktor luar.
“Yang baik dikaitkan dengan kerajaan, yang buruk pula dituding pada orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















