KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke digesa bertindak segera susulan kejadian sebuah pikap hilang kawalan kemudian merempuh lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Melaka semalam yang dipercayai berpunca daripada pemandu mabuk.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, Anthony bersama-sama Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memastikan pindaan Akta 333 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) khususnya Seksyen 43, 44 dan 45 dilaksanakan dengan sempurna.
“Seksyen 43 merujuk kepada kesalahan memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, Seksyen 44 merujuk kepada memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah manakala Seksyen 45 pula merujuk keadaan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah,” katanya menerusi kenyataan.
Ujarnya, kerajaan harus memerangi gejala pemanduan mabuk mahu pun dadah dan pemanduan merbahaya secara lebih proaktif.
“Sehubungan itu, usaha-usaha yang pernah dilaksanakan sebelum ini perlu diteruskan terutamanya daripada segi memperbanyakkan advokasi kepada orang ramai tentang peraturan jalan raya.
“Advokasi dan kempen kesedaran ini juga perlu dilakukan di peringkat sekolah supaya Malaysia dapat melahirkan generasi yang lebih peka serta bertanggungjawab, seterusnya menjadi pemandu berhemah di masa hadapan,” ujarnya.
Jelas beliau, Pindaan Akta 333 yang dibuat pada tahun 2020 bertujuan mengenakan hukuman lebih berat serta denda yang lebih tinggi ke atas pesalah bagi membendung insiden kemalangan jalan raya khususnya melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol.
“Antaranya, penjara maksimum telah ditambah dari 15 tahun ke 20 tahun dan denda maksimum ditambah dari RM6,000 ke RM150,000. Pindaan ini juga membezakan antara hukuman untuk pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan dengan yang menyebabkan kematian,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video papan pemuka nahas terbabit yang menunjukkan sebuah pikap tiba-tiba ‘terpelanting’ ke arah beberapa buah kenderaan dari arah hadapan ketika sedang menunggu lampu isyarat merah di simpang berkenaan.
Media melaporkan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pemandu pacuan empat roda itu dipercayai mabuk. – MalaysiaGazette
















