Keadaan belakang rumah rumah kos rendah di TUTA, Iskandar Puteri yang tidak diselenggara dengan baik

ISKANDAR PUTERI – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan melakukan sitaan terhadap hampir semua pemilik flat kos rendah di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini jika masih ingkar membayar yuran penyelenggaraan.

Ahli MBIP Zon TUTA, Chuah Lee Hui berkata, lebih 90 peratus pemilik flat kos rendah itu yang memiliki 87 Blok membabitkan 4,800 unit masih tidak menjelaskan bayaran.

Jelasnya, hanya 10 peratus daripada pemilik flat berkenaan berdisplin dalam soal membayar yuran penyelenggaraan mengikut tempoh ditetapkan badan pengurusan.

Menurutnya, pembayaran diuruskan tujuh badan pengurusan yang kerap berdepan masalah berikutan pemilik culas membayarnya.

“Ada yang tidak membayar yuran penyelenggaraan hingga mencecah lima tahun, malah sesetengahnya 10 tahun tidak bayar.

“Mereka sepatutnya tidak berdepan masalah kerana kebanyakan penghuni asal bertindak menyewakan unit kediaman kepada penyewa sehingga mencecah sewa RM1,000,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, sepatutnya perkara tersebut tidak menjadi masalah kerana kawasan itu strategik dan kebiasaannya tiada unit yang kosong sebaliknya semua disewakan sekiranya pemilik berpindah ke lokasi lain.

Jelsanya, yuran penyelenggaraan hanya serendah RM30 hingga RM50 dan sikap tidak bertanggungjawab itu menimbulkan kesulitan terhada badan pengurusan.

Pihak terbabit katanya, gagal melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk pembersihan, pembaikpulihan infrastruktur dan kemudahan kerana kekurangan dana.

Lee Hui berkata, badan pengurusan sudah melaksanakan pelbagai tindakan termasuk memberi peringatan berulang-kali berkaitan pembayaran yuran penyelenggaraan namun pemilik masih berdegil.

“Baru-baru ini empat pemilik rumah diperintahkan supaya menjelaskan tunggakan yuran penyelenggaraan hampir RM30,000 keseluruhan dalam tempoh 30 hari mulai 17 September 2025 oleh Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR),” ujarnya.

Kesemua mereka katanya, adalah pemilik rumah di Blok 62 dan sekiranya ingkar mereka akan dikenakan tindakan lanjut.

“Begitu juga dengan pemilik rumah yang lain, mereka juga akan dikenakan tindakan secara berperingkat-peringkat.

“Kami menasihati pemilik rumah supaya merujuk kepada badan pengurusan sekiranya berdepan dengan sebarang masalah atau keraguan berkaitan pembayaran yuran penyelenggaraan,” katanya.

Pada 2023, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah di negeri ini.

Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast