JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu memberi penjelasan berkenaan kekeliruan dan persoalan yang timbul berkenaan sistem subsidi bersasar RON95 atau BUDI Madani RON95 (BUDI95) yang bakal dilaksana hujung bulan ini.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Mohd Ridhwan Othman mendakwa kebanyakan maklumat berkenaan BUDI95 tidak jelas dan flip flop.
“Mengapa mereka yang tidak layak di bawah program BUDI95 perlu membayar RM2.60 seliter sedangkan harga asal sebelum ini ialah RM2.05 seliter,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Ridhwan berkata, kerajaan menjelaskan, harga RM2.05 hanyalah harga subsidi bersasar bukan harga sebenar pasaran.
Subsidi itu, katanya, kini hanya diberikan kepada golongan yang layak di bawah kategori ditentukan kerajaan.
“Bagi kumpulan yang tidak layak termasuklah isi rumah berpendapatan tinggi (T20) serta bukan warganegara, harga yang perlu dibayar ialah RM2.60 seliter iaitu kadar tanpa subsidi.
“Langkah itu menurut Kementerian Kewangan bertujuan memastikan bantuan kerajaan lebih lebih adil dan tertumpu kepada mereka yang benar-benar memerlukan selain mengurangkan ketirisan subsidi.
“Namun persoalan kekal bermain di fikiran rakyat, apakah wajar harga subsidi ditarik sehingga segelintir rakyat perlu menanggung RM2.60 seliter tatkala kos sara hidup terus menekan kehidupan rakyat masa kini,” katanya.- MalaysiaGazette
















