KUALA LUMPUR – Family Boat, salah sebuah kapal utama dalam Global Sumud Flotilla (GSF) mengalami kerosakan mekanikal, malam tadi, ketika rombongan itu sedang bersiap-sedia untuk berlepas dari Crete bagi menyempurnakan misi ke Gaza.
GSF dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, operasi pusat rombongan tersebut langsung tidak terjejas akibat insiden itu.
Katanya, semua peserta di dalam Family Boat kini telah selamat dipindahkan dengan membawa bersama kepakaran masing-masing dalam pelayaran, kemahiran komunikasi dan koordinasi diplomatik ke kapal baharu.
“Semangat Sumud yang kami pegang tidak mampu dipatahkan oleh kegagalan mekanikal, situasi buruk atau sebarang usaha untuk menjejaskan misi keamanan ini.
“Kami akan terus berlayar, bersatu dalam satu tujuan dan mengukuhkan komitmen demi rakyat Palestin,” katanya.
GSF pada 8 September lalu mengesahkan bahawa Family Boat yang membawa ahli jawatankuasa pemandunya telah diserang dron milik Israel di perairan Tunisia sehingga berlaku kebakaran.
Kebakaran tersebut telah menyebabkan geladak utama kapal dan ruang simpanan di bawahnya rosak.
Bagaimanapun, kesemua enam penumpang serta anak kapal dilaporkan selamat. – MalaysiaGazette















