KUALA LUMPUR – Hari pertama pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) khusus untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjalan lancar, dengan hampir 20 peratus daripada 300,000 anggota telah menjalankan transaksi pembelian petrol bersubsidi itu di seluruh negara.
Sehingga pukul 9.00 malam, sebanyak RM2.6 juta pembelian telah direkodkan menerusi pembelian 1.3 juta liter petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.
Menurut Kementerian Kewangan, pelaksanaan awal ini berjalan tanpa sebarang gangguan besar, dengan sistem BUDI95 dilaporkan stabil serta pembacaan MyKad di terminal stesen minyak berfungsi dengan baik.
“Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota ATM dan PDRM yang menjadi kumpulan terawal memanfaatkan subsidi menerusi sistem BUDI95,” kata kenyataan itu.
Pelaksanaan BUDI95 akan diperluaskan kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40 bermula esok sebelum diperluas sepenuhnya kepada 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 September ini.
Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September lepas, seramai 8.1 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan subsidi masing-masing.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari portal rasmi di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595. – MalaysiaGazette















