BOGOTA — Presiden Colombia, Gustavo Petro yang dibatalkan visanya oleh Amerika Syarikat (AS) berkata, New York tidak lagi sesuai menjadi lokasi ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Petro menegaskan keputusan AS itu melanggar prinsip imuniti yang menjadi asas kepada sistem PBB dan menyeru supaya undang-undang antarabangsa dihormati.
Pada hari Jumaat, beliau menyertai demonstrasi pro-Palestin di luar ibu pejabat PBB di New York, yang mana beliau menggesa askar-askar Amerika supaya tidak menghalakan senjata mereka terhadap kemanusiaan.
“Ingatlah, jangan patuhi arahan Trump! Patuhi arahan kemanusiaan!” kata Petro.
Jabatan Negara Amerika Syarikat kemudian mengumumkan di media sosial mereka akan membatalkan visa Petro kerana tindakannya yang dianggap “tidak bertanggungjawab dan menghasut.”
Sebagai respons pada Sabtu, Petro mengesahkan di media sosial beliau tidak lagi memiliki visa AS, sambil menambah, “Saya tidak peduli”.
Beliau menekankan presiden yang menghadiri Perhimpunan Agung PBB menikmati imuniti penuh.
Petro turut mengkritik Washington kerana menghalang wakil Palestin daripada menghadiri perhimpunan itu dan mengulangi gesaannya kepada masyarakat antarabangsa supaya campur tangan dalam krisis kemanusiaan di Gaza.
“Menafikan kemasukan kepada Pihak Berkuasa Palestin dan membatalkan visa saya hanya kerana meminta tentera Amerika dan Israel supaya tidak menyokong genosid, yang merupakan jenayah terhadap kemanusiaan, membuktikan kerajaan Amerika tidak lagi mematuhi undang-undang antarabangsa,” kata Petro.
Beliau turut menggesa Presiden Donald Trump menilai semula sokongan terhadap Israel, dengan menegaskan Amerika Syarikat tidak akan mencapai keagungan “dengan membunuh bayi yang tidak berdaya”. – Agensi

















Setuju… HQ UN perlu dipindahkan keluar dari US.. pindah ke Geneva kaa.. Paris kaa.. ke Asia kaa.. Afrika kaa.. Sikap US amat memalukan