SEPANG – Kerajaan memberi jaminan akan terus melindungi ruang siber negara daripada diceroboh propaganda zionis, termasuk menangkis berita palsu yang cuba dimainkan bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan masyarakat tidak terjebak dengan maklumat yang direka untuk mengelirukan serta menimbulkan panik.
“Sebagai contoh, di beberapa negara telah tular kononnya kapal-kapal Global Sumud Flotila diserang komando Israel, padahal perkara itu tidak berlaku. Ini jelas bersifat propaganda untuk menimbulkan panik,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, Global Sumud Flotila turut disertai pasukan peguam antarabangsa yang bersedia menegakkan keadilan sekiranya berlaku sebarang pencabulan hak asasi.
Fahmi turut mempersoalkan tindakan Israel yang sering melakukan sekatan di perairan antarabangsa tanpa sebarang hak yang sah.
“Ini bukan soal bagaimana kita melindungi peserta flotila, tetapi kenapa Israel boleh bertindak sewenang-wenangnya di kawasan yang bukan perairan mereka. Itu yang sepatutnya dipersoalkan,” tambahnys.
Fahmi juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Malaysia akan terus memantau keselamatan 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi flotilla berkenaan.
“Insya-Allah, kerajaan akan berusaha memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat.
“Keadaan sekarang jauh berbeza kerana semakin banyak negara, termasuk yang dahulunya sekutu Israel, kini secara terbuka di pentas dunia mengiktiraf Palestin,” tambahnya.
Dalam pada itu, pihaknya juga akan terus komited menyekat usaha penyebaran propaganda rejim zionis di Malaysia melalui langkah pencegahan proaktif serta pemantauan berterusan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Antara usaha itu termasuk mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok di Bukit Aman bagi menyatakan pendirian tegas kerajaan terhadap pelantikan seorang bekas pegawai tentera Israel Defence Forces (IDF) di syarikat berkenaan.
Selain TikTok, beliau berkata kerajaan turut mengadakan rundingan dengan syarikat gergasi lain seperti META susulan insiden kandungan berkaitan Palestin dan Iraq yang dimuat naik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah diturunkan oleh platform itu.
“Dalam pertemuan sebelum ini, kami nyatakan dengan jelas bahawa perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Mereka akhirnya mengakui bahawa seorang Perdana Menteri selaku ketua kerajaan berdaulat berhak untuk menyatakan pendirian.
“Hasil daripada perbincangan berterusan ini, kami percaya mesej itu sampai kepada platform-platform tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















