Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Isu membabitkan dakwaan pemalsuan dokumen Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain warisan adalah berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), buat masa ini.

Oleh itu, tiada sebarang asas kesalahan yang dikenal pasti di bawah Akta SPRM 2009 setakat ini, kata SPRM.

Sehubungan itu, SPRM tidak akan berhubung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebaliknya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada pihak FAM untuk menyelesaikannya.

“SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara pihak-pihak yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut SPRM, pihaknya telah dibekalkan dengan beberapa dokumen berkaitan proses permohonan dan pendaftaran kewarganegaraan pemain-pemain terbabit selepas menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sebelum ini, FIFA dalam kenyataan rasminya mendedahkan FAM dan tujuh pemain melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) kerana menyerahkan dokumen yang dipalsukan dalam proses pengesahan kelayakan pemain.

Menurutny, pemalsuan dilakukan bagi membolehkan pemain berkenaan disenaraikan dalam perlawanan rasmi skuad kebangsaan.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palermo, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Mereka diturunkan ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudiannya mencetuskan aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain.

Hasil siasatan Jawatankuasa Tatatertib FIFA, FAM dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) manakala setiap pemain terbabit didenda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, FIFA turut menyerahkan isu kelayakan pemain terbabit kepada Tribunal Bolasepak FIFA untuk pertimbangan lanjut.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast