Steven Sim memperuntukan RM65,000 untuk Masjid Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM – Sebanyak RM65,000 telah diperuntukkan kepada Masjid Taman Alma Jaya di sini, bagi kerja-kerja menaik taraf ruang lama kepada dewan mesyuarat dan serbaguna.

Peruntukan tersebut disumbangkan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong agar dimanfaatkan oleh anak-anak kariah sebagai tempat pertemuan, penganjuran aktiviti komuniti dan pelaksanaan program keagamaan.

Sim yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, pengurusan masjid memohon RM50,000 pada peringkat awal untuk mengubah suai ruang tandas lama yang tidak lagi digunakan.

“Susulan itu, pihak masjid memaklumkan mereka masih memerlukan RM17,000 bagi tujuan penyediaan perabot, sistem penghawa dingin dan sistem audio.

Steven beramah mesra dengan pihak pengurusan dan jemaah masjid.

“Sebagai tanda sokongan berterusan, saya bersetuju menambah RM15,000 manakala ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon turut menyumbang RM3,000,” katanya ketika meninjau masjid berkenaan hari ini.

Masjid Taman Alma Jaya yang berusia 25 tahun merupakan antara institusi keagamaan terbesar di Pulau Pinang, merangkumi 35 kawasan perumahan dan memberikan perkhidmatan kepada lebih 20,000 penduduk beragama Islam di kawasan sekitar.

Selain itu, masjid berkenaan turut menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM2.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi kerja-kerja penggantian bumbung lama yang uzur sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf kemudahan demi keselesaan jemaah.

Tambah Sim, komitmen yang ditunjukkan mencerminkan keprihatinan pemimpin terhadap pembangunan institusi keagamaan dan kesejahteraan masyarakat.

“Selain itu, pihak pengurusan masjid turut merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan dan berharap usaha ini menjadi pemangkin kepada perpaduan dan kemajuan ummah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast