JOHOR BAHRU – Johor akan bekerjasama dengan Harvard Kennedy School – Center for International Development (CID) di Amerika Syarikat dalam bidang pendidikan, tadbir urus, kepimpinan dan inovasi pembangunan mampan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerjasama turut melibatkan pembangunan kajian kes (case study) tentang pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
“Kajian ini bakal menjadi rujukan penting dalam menilai reka bentuk institusi, strategi pembangunan bakat serta keberkesanan pelaksanaannya sebagai model pembangunan serantau.
“Pada masa yang sama, Johor dan Harvard mencapai kesepakatan untuk meneroka program pembangunan bakat dan kepimpinan melalui Harvard Kennedy School (HKS) Executive Education.
“Ini dengan penekanan pada pembinaan kapasiti jangka panjang yang memberi impak nyata kepada pentadbiran negeri dan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yakin kerjasama itu bukan sahaja akan mengangkat Johor ke pentas global, tetapi lebih penting menterjemah kepada rakyat melalui pembangunan negeri yang lebih berwawasan dan peningkatan bakat anak muda yang berdaya saing.
Tambahnya, ini termasuk pengukuhan institusi yang mampu menjamin kemakmuran Johor secara mampan.
“Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan kolaborasi bersama-sama institusi-institusi terbaik dunia untuk membangunkan modal insan negeri Johor,” katanya. – MalaysiaGazette
















