Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menggunakan sistem homeroom yang memperuntukkan seorang guru dengan 20 pelajar sebagai anak angkat dalam usaha untuk membanteras buli dalam institusi pendidikannya.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan itu yang diperkenalkan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sejak 1972 bukan sahaja pendidikan bahkan menekankan soal sahsiah diri pelajar.

“Setiap pelajar mesti sentiasa berinteraksi sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kita juga mengharapkan guru-guru ini sentiasa boleh menjadi ibu atau pun ayah sebagai gantian kepada ibu bapa mereka di rumah.

“Kita wujudkan kepercayaan dulu dengan pelajar-pelajar ini supaya mereka ada tempat mengadu.

“Baru-baru ini pun kita laksanakan kursus khas kepada homeroom ini dengan memasukkan aspek-aspek yang terkait dengan fenomena buli yang ada pada hari ini.

“Kita nak mempertingkatkan kemahiran psikologi untuk menangani isu-isu berkait rapat buli supaya gejala ini dapat dikenal pasti awal,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat MARA di sini hari ini.

Menurut Asyraf, usaha tersebut untuk memastikan budaya buli yang dianggap kebiasaan dan budaya dalam kalangan pelajar sekolah dan asrama dihentikan sepenuhnya.

“Kita kena iktiraf dahulu bahawa masalah itu wujud, kalau kita tidak mengiktiraf, kita sorok di bawah bantal atau pun bawah permaidani, perkara ini tidak akan selesai.

“Buli ini memang ia sudah menjadi macam budaya sehinggakan cakap-cakap katakan tak apalah sikit-sikit ini satu proses untuk tinggal di asrama.

“Jadi inilah satu kebiasaan yang harus kita hentikan, sebab itu saya katakan kita kena putuskan rantaian buli ini,” katanya.

Katanya lagi, melalui pendekatan You Touch, You Go, MARA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar yang terbukti terlibat dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Kita ada kes awal pertengahan tahun ini di mana pelajar tingkatan lima menghadapi peperiksaan SPM, bila didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin MRSM (JDM) memang ada unsur buli.

“Apa juga alasan walaupun dia diprovokasikan oleh pelajar junior, itu tidak menghalalkan perlakuan buli oleh senior ini.

“Walaupun ia boleh menjejaskan prestasi MRSM namun kita nak menyampaikan isyarat jelas, isu buli tidak boleh dikompromi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast