KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan beliau tidak pernah menyalahgunakan kedudukannya sepanjang tiga tahun menggangotai Kabinet untuk mendapatkan duit.
Meskipun tidak mempunyai pengalaman sebagai penjawat awam sebelum ini, namun sedar sebagai rakyat Malaysia beliau perlu amanah dan mematuhi undang-undang dalam menjalankan tugas.
“Sebagai penjawat awam kamu kena bertindak berlandaskan undang-undang, jangan lakukan di luar undang-undang disebabkan ada pihak yang cuba..
“Dalam tiga tahun sebagai seorang menteri penggal pertama saya berkhidmat, alhamdulillah saya boleh kata tidak ambil satu sen duit, satu sen komisyen saya tidak dapat, satu projek saya tidak dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali Ke-29 Tahun 2025: AI dan Persona Diri: Kemandirian di Era Infodemik di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri RTM, hari ini.
Malah Fahmi berkata, beliau terbuka menerima teguran daripada kakitangan namun ia perlu disalurkan dengan cara yang baik.
“Ya menteri-menteri ni di kalangan orang politik, tapi kalau apa yang kami buat tidak betul, carilah jalan yang baik untuk menegur kami.
“Saya pun kadang bekeng juga tapi saya akan ikut yang betul sebab saya tidak ada pengalaman dalam perkhidmatan awam meskipun saya dibesarkan dalam suasana penjawat awam,” katanya.
Jelasnya, penjawat awam merupakan benteng negara yang perlu memastikan setiap tindak tanduk tidak melanggar undang-undang.
“Sebagai penjawat awam kamu kena bertindak berlandaskan undang-undang jangan lakukan di luar undang-undang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















