Lilis Saslinda meninjau pelaksanaan BUDI95 di Stesen Minyak Petronas di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Pemantauan di semua stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Singapura akan ditingkatkan bagi mengelak kenderaan asing mengambil kesempatan susulan pelaksanaan sistem subsidi bersasar RON95 atau BUDI Madani RON95 (BUDI95).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornoma berkata, walaupun tidak meletakkan pegawai penguat kuasa di stesen-stesen minyak yang menjadi tumpuan warga Singapura, KPDN akan tetap mengetatkan kawalan.

Jelasnya, larangan itu sudah jelas dan juga menjadi tanggungjawab pengusaha stesen minyak memastikan hanya kenderaan berdaftar di Malaysia dibenarkan menikmati subsidi RON95 pada harga RM2.05 seliter, manakala kenderaan asing perlu menggunakan RON97.

“Memang tidak ada kompromi. Mana-mana kenderaan pendaftaran asing sama sekali tidak dibenarkan mengisi RON95. Kita percaya negara jiran juga maklum dengan pendirian tegas kerajaan Malaysia.

“Pemantauan dan pemeriksaan akan dipertingkatkan walaupun tidak mungkin kita letakkan pegawai penguat kuasa di setiap stesen minyak. Namun, kita ada kekuatan sedia ada dan kerjasama pengusaha stesen serta orang ramai amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan BUDI95 di Stesen Minyak Petronas di Jalan Yahya Awal, di sini, hari ini.

Selain itu, Lilis Saslinda berkata, sekiranya sistem digital tergendala, pengguna masih boleh membuat pengisian melalui kaedah manual di kaunter stesen minyak sebelum pengesahan lanjut dibuat pihak pengendali.

Menurut beliau, kerajaan juga menyediakan platform aduan khas bagi orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berhubung sebarang penyelewengan subsidi bahan api.

Dalam masa sama katanya, pemilik kenderaan pengangkutan awam dan barangan perlu segera mendaftar dengan sistem MySubsidi Petrol Kenderaan Pengangkutan Darat (MySPPKS) untuk menikmati harga subsidi berkenaan.

“Kita akan adakan Hari Bertemu Pelanggan antara 1 hingga 7 Oktober ini bagi membantu pengusaha teksi, kereta sewa dan pengangkutan barangan yang masih belum membuat pendaftaran.

“Kalau tak pasti atau ada masalah isi borang dalam talian, mereka boleh terus datang ke pejabat KPDN Johor untuk kita bantu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast