KUALA LUMPUR – Pembangunan semula tujuh lambang ikonik warisan negara yang menelan kos sebanyak RM700 juta dijangka siap menjelang 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, antaranya Carcosa Seri Negara, Muzium Tekstil Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur lama bakal siap dalam masa terdekat.

“Kerajaan Madani sentiasa komited dan cakna, apabila kita merancang pembangunan, kita tapi tak pernah melupakan nilai-nilai warisan.

“Saya yakin pada tahun depan, rakyat Malaysia akan saksikan di mana ibu kota kita akan mempunyai wajah baharu dengan tujuh lambang ikonik yang akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Ketujuh-tujuh lambang ikonik ini bakal mendapat wajah dan juga hidup baru menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-16 Bandar Lestari Bertaraf Dunia (WCSC) 2025 di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr (DR.) Maimunah Mohd Sharif.

Selain itu, kata Kor Ming, bangunan Sultan Abdul Samad bakal menjadi lokasi untuk pemasaran produk dan jenama buatan Malaysia.

“Apabila pelancong tiba ke negara kita, dia nak cari jenama tempatan, dia tak nak minum Starbucks, dia nak cari kopi Malaysia, maka kita akan ada Old Town, Oriental Coffee, Secret Recipe kesemua itu adalah jenama Malaysia.

“Kita juga menaruh harapan yang tinggi, satu hari nanti Oriental Coffee, Old Town, Secret Recipe ataupun kopi kaw kaw semua ini, dia akan menjadi jenama antarabangsa, setanding dengan Starbucks dan Chagee,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast