Datuk Dr Yeo Kok Vui

JOHOR BAHRU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) bimbang dengan peningkatan ketara penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah ketika ini.

Presiden MTPN, Datuk Yeo Kok Vui berkata, penjualan secara terbuka, ditambah dengan perisa menarik yang dipasarkan menjadikan produk itu lebih mudah diakses oleh golongan muda.

“Kita tidak mahu generasi masa depan negara rosak kerana ketagihan nikotin yang bermula daripada vape. Kerajaan perlu bertindak sekarang sebelum isu ini menjadi lebih parah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, bagi membanteras gejala tersebut pihaknya mahu kempen kesedaran bahaya vape di sekolah serta komuniti dipertingkatkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan segera menghentikan penjualan vape di seluruh negara susulan kebimbangan semakin serius terhadap kesihatan awam, terutama melibatkan generasi muda.

Kok Vui juga mahu kerajaan pemperketat penguatkuasaan undang-undang terhadap pengedaran dan promosi vape.

Pasa masa sama menurutnya, menyediakan saluran rawatan untuk membantu mereka yang mahu berhenti menghisap vape.

Tegasnya, penggunaan vape bukan sahaja membawa risiko ketagihan nikotin, malah boleh mencetuskan masalah kesihatan jangka panjang seperti kerosakan paru-paru dan penyakit kardiovaskular.

“Tanggapan bahawa vape lebih selamat daripada rokok adalah mitos yang mengelirukan pengguna,” ujarnya.

Realitinya kata beliau, vape mendedahkan pengguna kepada bahaya sama atau lebih buruk kerana bahan kimia dan nikotin yang terkandung di dalamnya.

Selain faktor kesihatan katanya, MTPN menekankan bahawa penggunaan vape pakai buang menimbulkan isu pencemaran alam sekitar.

“Sisa bateri litium dan plastik daripada peranti ini menambah beban kepada sistem pelupusan sisa negara,” katanya.

MTPN menegaskan bahawa kepentingan kesihatan awam perlu mengatasi sebarang kepentingan komersial, katanya.

“Kita mahu kerajaan mencontohi negara lain yang sudah mengambil langkah tegas terhadap produk vape demi melindungi rakyat,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast