KUALA LUMPUR – Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Yusliza Mohd Yusoff tersenarai buat kali keempat sebagai penyelidik yang berada dalam kelompok antara dua peratus saintis terbaik dunia berdasarkan penilaian Universiti Stanford dan penerbit akademik terkemuka Elsevier, Amerika Syarikat.
UMT dalam kenyataannya berkata, pengiktirafan berprestij itu meletakkan Yusliza di kedudukan ke-760 dunia dalam bidang pengurusan dan perniagaan serta ke-28 saintis berpengaruh di peringkat global, hasil analisis data Scopus yang merangkumi lebih sembilan juta penyelidik aktif.
Mengulas kejayaan tersebut, Yusliza menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu amanah untuk terus memperkukuh sumbangannya dalam bidang akademik.
“Saya amat berbesar hati dapat mewakili Malaysia dan wanita dalam sains di pentas antarabangsa. Sebagai anak Kelantan dan saintis dari UMT, saya berharap pencapaian ini dapat menyuntik semangat kepada generasi muda, khususnya wanita, untuk terus maju dalam bidang penyelidikan dan inovasi,” katanya.
Penyelidikan beliau dalam bidang pengurusan sumber manusia, pengurusan hijau, tingkah laku pekerja hijau dan kelestarian organisasi memberi impak besar kepada dasar dan amalan perniagaan negara.
Kajian beliau menjadi panduan kepada sektor industri dan organisasi dalam membentuk budaya kerja yang lebih lestari, sejajar dengan hasrat Malaysia menuju ekonomi hijau. -MalaysiaGazette
















