JOHOR BAHRU – Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 jelas bercanggah dengan hak pemilikan harta yang dijamin menerusi Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, RUU URA 2025 akan membolehkan pengambilan harta dengan ambang persetujuan pada kadar 75 hingga 80 peratus pemilik terbabit.
“Ini berpotensi menjejaskan hak pemilik minoriti dan memberi kelebihan kepada pemaju. Isu skala pampasan kepada pemilik asal masih kabur dalam RUU ini.
“Persoalannya, apa jaminan pampasan tidak merugikan pemilik asal? Tanpa jaminan undang-undang yang jelas, golongan B40 dan M40 berisiko tersisih.
“Malah keseimbangan komposisi kaum di kawasan bandar juga bakal terjejas akibat nilai hartanah yang semakin tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa, keadaan berkenaan berpotensi menjejaskan kesejahteraan komuniti bandar dan memberi kesan sosial jangka masa panjang yang perlu diberi perhatian kerajaan hari ini.
Pas Johor katanya, tidak menolak kemajuan dan sentiasa menyokong pembangunan negara.
Namun tegasnya, pembangunan mesti dijalankan dengan prinsip adil supaya rakyat marhaen yang kurang berkemampuan tidak tersisih.
Justeru kata Mahfodz, Pas Johor menggesa semakan semula URA demi memastikan hak semua pihak termasuk pemilik asal dan komuniti, terjamin sebelum RUU diteruskan.
Pas Johor juga ujarnya, mengajak seluruh rakyat hadir menyuarakan bantahan melalui Himpunan Aman #BantahURA anjuran Gerakan Rakyat Bangkit pada 4 Oktober ini di Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette















![[OPINION] Holding office at the Ruler’s pleasure](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2026/09/MGF27072026_BANDAR-DIRAJA-SERI-MENANTI_04-100x75.jpg)
