SEPANG – Pelawak dan juga pelakon, Along Cham, 42, sah bercerai talak satu dengan isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Keputusan itu dicapai selepas Hakim Muhamad Nazri Basrawi mengesahkan telah berlaku lafaz talak dalam perkahwinan pasangan itu pada 18 Jun 2024.
Semasa prosiding berlangsung, Muhamad Nazri memaklumkan mahkamah memutuskan lafaz secara taklik oleh plaintif (Along) ketika itu adalah sah sekaligus jatuh talak ke atas defendan (Afreena).
“Untuk pengesahan lafaz rujuk pada 29 Jun tahun lalu, pihak defendan sudah mengangkat ‘sumpah nafi’ bahawa tidak berlaku lafaz rujuk sepanjang tempoh idah.
“Mahkamah turut memutuskan lafaz taklik kedua oleh plaintif terhadap defendan pada Julai tahun lalu tidak sempurna dan tiada berlaku cerai kali kedua,” katanya ketika membacakan keputusan prosiding di sini hari ini.
Terdahulu, mahkamah meminta Afreena untuk mengangkat sumpah nafi berhubung dakwaannya yang menyatakan tiada rujuk dibuat oleh plaintif sepanjang tempoh idah.

Prosiding hari ini, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, diwakili peguam syarie Muhammad Akmal Amzan, manakala Afreena diwakili Mohamad Iezwan Ielias.
Along memfailkan permohonan lafaz taklik pada Januari lalu selepas mendakwa isterinya melanggar tiga perkara termasuk tidak patuh arahan dan membelakangkan suami.
Along yang mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April tahun lalu didakwa melafazkan cerai di rumahnya di Cyberjaya pada Julai 2024.
Along pernah berkahwin dengan penyanyi Zila Saeron pada September 2016 dan dikurniakan anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaan Along. – MalaysiaGazette















