KUALA LUMPUR – Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mencatatkan kejayaan besar apabila hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan transaksi di seluruh stesen minyak negara setakat jam 7 malam semalam.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, jumlah itu bersamaan dengan rekod pembelian RM43.7 juta melibatkan 21.8 juta liter petrol RON95 yang dinikmati rakyat di bawah subsidi kerajaan.
“Angka ini menunjukkan penerimaan rakyat yang sangat baik terhadap pelaksanaan BUDI95. Ia membuktikan sistem berjalan lancar dan manfaat subsidi benar-benar sampai kepada golongan sasaran,” katanya menerusi kenyataan taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan BUDI95 bermula pada 27 September lalu khusus untuk 300,000 wira pertahanan negara iaitu anggota ATM dan PDRM sebelum diperluas kepada lima juta penerima STR pada 28 September.
“Alhamdulillah, dari segi pelaksanaan, sistem BUDI95 kekal stabil untuk kedua-dua hari tersebut. Malah, pengesahan MyKad di stesen minyak turut berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Tunku Nashrul berkata, bermula tengah malam tadi, kerajaan mengembangkan lagi pelaksanaan BUDI95 kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak, manakala harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi Oktober ini.
Bagaimanapun, penerima BUDI95 dapat menikmati harga bersubsidi pada RM1.99 seliter, katanya.
“Ini bermakna kerajaan memberikan manfaat subsidi sebanyak 61 sen seliter. Dengan had 300 liter, setiap individu boleh menerima penjimatan sehingga RM183 sebulan,” ujarnya.
Selain itu, kerajaan turut memuktamadkan mekanisme tambahan untuk pemandu e-hailing bersama penyedia perkhidmatan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), selain mempertimbangkan pengendali bot di Sabah dan Sarawak supaya tidak tercicir daripada manfaat ini.
“Kerajaan MADANI ingin merakamkan penghargaan kepada semua penerima BUDI95. Setiap liter membawa seribu makna kepada rakyat Malaysia. Inilah tanda penghargaan kerajaan, agar rakyat sentiasa dilindungi,” tambah beliau.
Bermula tengah malam tadi, sejumlah 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 memberikan kelegaan kepada orang ramai terhadap perbelanjaan harian.
Inisiatif itu menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan. – MalaysiaGazette
















