KUANTAN – Pengusaha dan pengendali di 275 buah stesen minyak di Pahang disaran menugaskan sekurang-kurangnya dua orang kakitangan di kawasan pam minyak susulan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang berkata, ia bagi memastikan kelancaran proses pengisian petrol dan pengesahan transaksi dalam kalangan pengguna.
“Saya rasa dalam tempoh seminggu akan lancar. tapi kalau pengguna keliru pun, mereka boleh ke kaunter pembayaran. Tapi saya sangat berpuas hati dengan pelaksanaan pemberian inisiatif BUDI95 hari ini.
“Cuma ada kelainan sistem dalam urusan pembelian minyak bagi setiap jenama pembekal. Lama-lama nanti semua pengguna akan biasa dengan prosesnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pemantauan Pelaksanaan Penyasaran Subsidi RON95 bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang di stesen minyak sekitar Kuantan hari ini.
Dalam pada itu, seorang pembeli, Salmizi Ahmad, 49, ketika ditemui menyifatkan proses pengisian minyak menerusi BUDI95 sebagai mudah dan cepat.
Dia yang bekerja di Kemaman dan tinggal di sekitar Sungai Karang di sini bersyukur dengan penyasaran subsidi minyak itu kerana dapat mengurangkan kos perjalanan iaitu kira-kira 120 kilometer sehari.
“Senang saje nak berurusan. Kali pertama isi minyak kereta guna BUDI95 guna tunai. Hanya perlu tunjuk kad pengenalan kepada petugas pam minyak.
“Saya isi RM50 tapi dapat minyak dengan nilai RM65 bagi 25 liter minyak petrol. Sangat membantu,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Muhd Shahrul Akimi Rizal, 22, pula berkata, terdapat pelbagai alternatif bagi kelancaran proses isi minyak menggunakan BUDI95.
Dia yang bekerja di sebuah pasar raya di sekitar Kuantan memilih untuk membuat pembayaran melalui aplikasi Setel di stesen minyak Petronas kerana tidak mahu mengeluarkan kad pengenalannya.
“Petugas di stesen minyak ini memang ajar dan saya rasa mudah guna aplikasi ini. Biasa saya buat isian penuh RM12 untuk motosikal tapi hari ni saya nak cuba isi RM4 dahulu,” katanya.

Sementara itu, Chan Boon Ho, 39, pula lebih cenderung menggunakan kaedah pembayaran menerusi aplikasi TouchNGo e-wallet berbanding tunai.
Katanya, kaedah itu lebih mudah dan cepat kerana tidak perlu meninggalkan kenderaannya ke kaunter pembayaran.
“Ini kali kedua saya isi minyak BUDI95 hari ini dan menggunakan tunai. Pertama kali pagi tadi saya guna e-wallet. Lagi muda guna e-Wallet sebab maklumat peribadi semua sudah ada dalam aplikasi, jadi tak perlu keluarkan kad pengenalan ketika mahu bayar,” jelasnya.

BUDI95 mula dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 Sept dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati inisiatif itu sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40.
Inisiatif yang merekodkan pembelian RON95 bernilai RM3.7 juta hanya dalam tempoh sehari selepas dilaksanakan, menunjukkan sambutan menggalakkan daripada kumpulan yang layak seperti anggota tentera, polis serta penerima STR.
Bagi pengguna, BUDI95 menawarkan kaedah transaksi yang mudah dan ringkas kerana hanya memerlukan MyKad serta lesen memandu sah bagi tujuan pengesahan kelayakan secara automatik. – MalaysiaGazette















