Tiga orang awam terkesan selepas terhidu pencemaran bahan kimia di sebuah kilang di Jalan Platinum, Pasir Gudang malam tadi.

PASIR GUDANG – Tiga individu terkesan selepas terhidu pencemaran bahan kimia di sebuah kilang di Jalan Platinum, di sini, malam tadi.

Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima pangggilan berhubung kejadian tersebut pukul 11.11 malam.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), tiga orang menjadi mangsa pencemaran bau. Maklumat terperinci berhubung mangsa tidak dapat diperoleh kerana ketiga-tiganya telah dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum bomba tiba.

“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan menyeluruh di kawasan kilang bagi memastikan tiada lagi risiko pencemaran serta keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, seramai tiga anggota bersama-sama seorang juruteknik kilang memasuki kawasan premis untuk pemeriksaan secara berkala dengan dilengkapi Peralatan Pelindung Diri (PPE) penuh, satu unit Gas Mate dan dua unit GFG Gas Detector.

Jelasnya, pencemaran tersebut berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan berdekatan.

Menurut beliau, operasi yang turut dihadiri Pegawai Kanan Hazmat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Tc Saifulbahari Safar itu berjaya mengesan gas hidrogen sulfida pada kepekatan 8.9 ppm.

“Selain itu PKO turut melaksanakan kerja-kerja ventilasi menggunakan ventilation fan milik pihak kilang serta menjalankan semburan fogging dengan satu aliran salur bantu mula meliputi keluasan 10 x 10 meter persegi,” katanya.

Operasi tersebut katanya, ditamatkan pada pukul 3.37 pagi setelah bacaan udara di kawasan kejadian berada pada paras normal.

Tambahnya, operasi itu melibatkan 13 anggota dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Rapid Rescue Vehicle (RRV). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast