MELAKA – Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memberikan jagaan bayi perempuannya berusia tiga bulan bagi mendapatkan wang sebanyak RM2,000 akibat kesempitan hidup, bulan lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh, Yan Chin Ding, 22, yang akan diputuskan pada 14 Oktober ini sementara menunggu fakta kes diserahkan pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengambil bahagian dalam transaksi yang tujuannya untuk memberikan jagaan anak kandung berusia tiga bulan 12 hari kepada pasangan berusia 51 dan 35 tahun bagi balasan berharga iaitu wang tunai berjumlah RM2,000.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan kedai dobi di Banda Kaba dalam daerah Melaka Tengah, di sini, kira-kira pukul 8 malam 17 September lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 48 Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 48(1) akta sama.
Difahamkan, tertuduh yang berasal dari Klang, Selangor dan mempunyai dua lagi anak masing-masing berusia tiga dan dua tahun yang dijaga oleh datuk serta nenek mereka.
Tertuduh kemudian berhijrah ke Melaka ketika hamil bagi mencari pekerjaan.
Sepanjang tempoh itu, tertuduh dikatakan mengalami masalah kewangan hingga berlaku pergaduhan dengan suaminya sebelum mengambil keputusan menjual bayi berkenaan secara rahsia kepada sepasang suami isteri yang menetap di Perak.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 terhadap tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan perlu menjaga anak-anaknya yang masih kecil, manakala suaminya hanya bekerja sebagai penjaga stor.
Selain itu, bayinya juga kini telah berada di bawah jagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sehingga 9 Oktober ini.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai. – MalaysiaGazette
















