KUALA LUMPUR – Cubaan sindiket warga Sri Lanka menggunakan kanak-kanak berusia 10 tahun dan mengupah wanita tempatan sebagai ibu kandungnya bagi mendapatkan pasport Malaysia terbongkar.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 10.15 pagi ketika kanak-kanak itu hadir bersama seorag wnaita di Pejabat Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral.
Katanya, pegawai imigresen telah meneliti surat beranak kanak-kanak itu dan salinan kad pengenalan ‘ibunya’, namun secara fizikal kanak-kanak itu lebih berusia dari umur asalnya.
“Pegawai cuba berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu dengan pada kanak-kanak itu bertanyakan beberapa soalan asas dan umum, namun nyata dia tidak dapat memberi maklum balas dan tidak faham apabila diarahkan membuat pengesahan biometrik cap jari kanan dan kiri.
“Wanita terbabit yang menyamar sebagai ‘ibu’ kepada kanak-kanak Sri Lanka itu pula kemudian disoal siasat oleh penyelia dan pegawai kanan bertugas sebelum keterangan mendapati dia telah diarahkan oleh satu sindiket yang membantu warga Sri Lanka memperoleh Pasport Malaysia Antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, modus operandi suspek wanita itu adalah mengemukakan sijil kelahiran anak kandungnya, manakala kanak-kanak Sri Lanka tersebut menyamar sebagai anaknya itu.
“Bertindak atas arahan Ketua Imigresen UTC Pudu Sentral, kedua-dua mereka telah ditahan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150) bagi penyiasatan lanjut.
“JIM telah merampas beberapa dokumen serta telefon bimbit yang digunakan sebagai medium perantara sindiket dan suspek,” jelasnya.
Jelas beliau, tindakan menyamar sebagai warganegara Malaysia untuk memperoleh pasport adalah satu penipuan sistematik yang menjejaskan keselamatan negara.
“Dokumen warga tempatan yang disalahgunakan berdepan risiko penyalahgunaan identiti, masalah undang-undang dan rekod jenayah palsu.
“JIM Kuala Lumpur akan mengembangkan siasatan bagi mengesan ahli rangkaian sindiket tersebut yang cuba memperolehi dokumen pasport antarabangsa secara tidak sah.
“Kita memberi jaminan bahawa prosedur pengeluaran pasport adalah ketat dan teliti termasuk penggunaan teknologi bagi memastikan dokumen tidak jatuh ke tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Wan Saupee menjelaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba menyalahi undang-undang tanpa kompromi. – MalaysiaGazette
















