KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut tindakan segera oleh kerajaan Malaysia termasuk komuniti antarabangsa susulan penahanan aktivis kemanusiaan serta peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera laut Israel yang sedang dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kerajaan wajib memastikan akses konsular segera kepada warganegara Malaysia yang ditahan dan perlu mendesak pembebasan penuh kesemua aktivis yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu.
Menurut beliau, semua kargo bantuan yang telah dirampas oleh tentera Israel mesti dikembalikan atau disalurkan ke Gaza tanpa sebarang halangan.
“Menghalang bantuan kepada penduduk awam adalah satu pencabulan prinsip kemanusiaan antarabangsa. Bersatu turut menggesa agar Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Majlis Keselamatan PBB mengecam tindakan Israel dan menggunakan semua mekanisme undang-undang antarabangsa untuk menekan rejim Zionis agar membebaskan para aktivis dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tun Faisal turut menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar membawa suara ASEAN dan dunia Islam bagi mendesak Amerika Syarikat serta kuasa-kuasa besar dunia supaya menghentikan pencabulan yang berterusan terhadap rakyat Palestin.
“Kerajaan Malaysia mesti memainkan peranan yang lebih agresif, bukan sekadar kenyataan simbolik,” katanya sambil mencadangkan tindakan melalui saluran diplomatik, tekanan antarabangsa serta kerjasama serantau dilakukan.
Beliau berkata insiden itu mengulangi keperluan mendesak untuk mewujudkan satu koridor kemanusiaan yang selamat bagi penghantaran bantuan ke Gaza.
“Komuniti antarabangsa tidak boleh lagi berdiam diri. Akses kepada bantuan kemanusiaan mesti dijamin dan tidak boleh dihalang atas alasan politik atau ketenteraan.
“Semua pihak untuk bersatu dalam mendesak tindakan tegas ke atas Israel dan mempertahankan hak rakyat Palestin yang semakin terhimpit akibat kekejaman berterusan rejim Zionis,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan seramai 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas Zionis setakat di perairan Gaza pagi ini.
Mereka termasuk penyanyi, Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.
Turut ditahan penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio selain Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad yang berada di atas kapal Grande Blu. – MalaysiaGazette
















