Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin sehingga keadilan dan kebebasan menjadi milik rakyat negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, dunia sekali lagi dipertontonkan dengan wajah sebenar rejim Israel yang terus menunjukkan keangkuhan sebagai penjajah apabila bertindak menindas misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza.

Beliau berkata, tindakan Israel itu bukan sahaja disifatkan sebagai satu bentuk kekejaman terhadap penduduk Gaza, malah merupakan penghinaan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini. Kapal-kapal ini membawa sukarelawan dan bekalan penting untuk rakyat Palestin namun mereka berdepan dengan intimidasi, kekerasan dan paksaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Menurutnya, misi Global Sumud Flotilla adalah simbol solidariti, kasih sayang dan harapan masyarakat dunia terhadap Palestin yang terus dizalimi.

Malaysia, katanya, komited untuk menggunakan semua saluran sah di peringkat antarabangsa bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berkaitan keselamatan warganegara yang menyertai misi berkenaan.

“Seperti ditegaskan Perdana Menteri, keselamatan rakyat Malaysia adalah keutamaan dan dalam hal ini, kita tidak akan berkompromi,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan bahwa beliau sendiri mengikuti rapat perkembangan misi sejak awal selain turut berhubung dengan para sukarelawan dari Malaysia yang menyertai pelayaran tersebut.

“Saya tahu dugaan mereka amat besar, cabaran yang dihadapi tidak mudah. Namun doa seluruh rakyat Malaysia sentiasa bersama mereka. Semoga Allah melindungi dan mengurniakan kekuatan untuk mereka meneruskan misi mulia ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas Zinonis setakat di perairan Gaza pagi ini.

Mereka termasuk penyanyi, Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.

Turut ditahan penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio selain Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad yang berada di atas kapal Grande Blu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast