FOTO AFP

BANDAR GAZA – Sekurang-kurangnya 34 penduduk Gaza terbunuh dalam serangan sejak subuh tadi ketika Israel mengugut puluhan ribu penduduk yang masih tinggal untuk segera keluar dari bandar itu.

Israel melakukan pengusiran secara paksa dengan mengatakan “ini adalah peluang terakhir” untuk penduduk Gaza melarikan diri atau berdepan dengan “kuasa penuh” serangan.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menulis di X pada Rabu bahawa sesiapa yang masih tinggal akan dianggap sebagai “pengganas dan penyokong pengganas”.

Dalam tempoh 24 jam lalu, dua individu yang sedang mencari bantuan terbunuh dan 44 lagi cedera, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terdesak mencari makanan akibat kebuluran berpunca meningkat kepada 2,582 terbunuh dan lebih 18,974 cedera.

Pada Khamis, seorang kanak-kanak terbunuh akibat tembakan dron Israel di kawasan Ansar, barat Bandar Gaza, menurut perkhidmatan kecemasan dan ambulans.

Sembilan orang terbunuh dan 13 cedera akibat serangan Israel yang menyasarkan penduduk berpindah di tengah Semenanjung Gaza, kata sumber perubatan kepada Al Jazeera.

Seorang rakyat Palestin dan isterinya terbunuh dalam serangan dron Israel ke atas sebuah rumah di kem pelarian al-Bureij di tengah Gaza.

Seorang lagi rakyat Palestin terbunuh dan lebih 10 cedera dalam serangan dron Israel di selatan Deir el-Balah. Di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, lapan orang cedera apabila dron Israel mengebom khemah pelarian di dalam kampus Universiti Al-Aqsa di kawasan al-Mawasi, barat bandar itu, yang berulang kali diserang Israel walaupun ia diisytiharkan sebagai “zon selamat”.

Melaporkan dari jalan al-Rashid pada Khamis, wartawan Al Jazeera Hani Mahmoud berkata tentera Israel mengarahkan orang ramai keluar, kemudian memburu mereka di laluan pesisir pantai ke selatan dengan helikopter tentera, dron dan kereta kebal, mencetuskan “huru-hara dan panik”.

“Sebahagian besar sebab mengapa orang ramai kini tidak meninggalkan Bandar Gaza adalah kerana ketakutan dan intimidasi yang dicipta oleh tentera Israel,” katanya.

Walaupun pengeboman besar-besaran Israel ke atas Bandar Gaza bertujuan memaksa orang awam melarikan diri ke selatan, ada yang membuat pilihan berbahaya untuk kembali ke utara.

Ribuan rakyat Palestin telah dipaksa oleh serangan Israel untuk melarikan diri dari utara ke selatan melalui laluan berbahaya ini.

Pada Rabu, Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata tentera Israel telah menutup Jalan al-Rashid, yang digambarkan sebagai “salah satu nadi penting yang digunakan orang awam untuk perjalanan antara wilayah Gaza”. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast