Antony. Foto Sky Sports.

LONDON – Penyerang sayap, Antony meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diterimanya di Manchester United sebelum menamatkan episod sukar sebagai sebahagian daripada bomb squad atau kumpulan pemain terpinggir dengan menyertai Real Betis.

Menerusi pendedahannya kepada El Desmarque, Antony menceritakan pengalaman pahit yang dilaluinya termasuk terpaksa menetap lebih 40 malam di sebuah hotel lapangan terbang Manchester dengan kadar £175 semalam.

“Ia adalah bulan yang sangat sukar di England. Lebih 40 hari di hotel, berlatih secara berasingan. Saya rasa seperti tidak dihormati tetapi itu bukan isu utama.

“Saya tidak mahu timbulkan kontroversi kerana itulah kehidupan. Saya tetap berterima kasih kepada kelab kerana selain detik sukar, saya juga menjulang dua trofi di sana,” katannya.

Hotel yang dimaksudkan Antony adalah Delta Hotels Manchester Airport Marriott yang menerima pelbagai ulasan negatif termasuk keadaan bilik ‘usang’, bunyi bising berterusan malah aduan mengenai kewujudan lipas.

Pemain antarabangsa Brazil itu dianggap antara pembelian United yang gagal selepas berpindah masuk dari Ajax dengan yuran perpindahan £86 juta sebelum dilepaskan ke Betis pada hari terakhir jendela perpindahan musim ini dengan kerugian sekitar £60 juta.

Sepanjang musim panas, Antony diletakkan bersama kumpulan pemain terpinggir atau lebih dikenali sebagai ‘bomb squad’ yang turut menyenaraikan Marcus Rashford, Alejandro Garnacho dan Jadon Sancho.

Sepanjang di Old Trafford, dia  hanya menjaringkan 12 gol dalam 96 penampilan sepanjang tiga musim di mana pada fasa pertama musim lalu hanya menghasilkan satu gol dalam 14 aksi sebelum dipinjamkan ke Betis iaitu kelab yang kini menjadi destinasi tetapnya.

“Apa yang berlaku di Manchester, hanya saya yang tahu betapa memeritkan keadaan di sana apabila menjalani latihan secara bersendirian dan itu semua sudah menjadi sejarah.

“Bezanya amat besar, Seville jauh lebih indah berbanding Manchester. Saya akhirnya kembali ke kelab dan kota yang saya cintai,” katanya sambil menegaskan penghargaan terhadap sokongan penyokong Betis. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast