KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu laporan patologi daripada Jabatan Kimia berhubung siasatan kes seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan kerana disyaki memiliki dadah pada 23 September lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan kes berkenaan belum dapat dimuktamadkan selagi keputusan laporan tersebut belum diperoleh.
“Beberapa proses berkaitan siasatan masih berjalan dan belum diselesaikan sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, suspek lelaki berusia 30-an ditahan selepas ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.
Kertas siasatan seterusnya telah dibuka di bawah Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selepas ditahan reman selama tiga hari, suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebaik sahaja proses rakaman keterangan selesai.
Kertas siasatan turut dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















