KUALA LUMPUR – Pas menggesa kerajaan mengarakan sesi khas sempena sidang Parlimen yang akan bermula 6 Oktober ini membincangkan isu penahanan 23 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera rejim Israel (IOF).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sidang khas berkenaan sekali gus membolehkan Parlimen secara kolektif membuat ketetapan rasmi berhubung isu tersebut.
“Pas percaya bahawa Parlimen Malaysia perlu bersikap proaktif dan tidak boleh berdiam diri dalam isu sepenting ini. Solidariti kemanusiaan dan pembelaan hak rakyat Palestin adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia tanpa
mengira fahaman politik dan latar belakang kepercayaan,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam masa yang sama, Takiyudin berkata, parti itu turut mendesak supaya Wisma Putra bertindak segera melalui saluran diplomatik dan undang undang antarabangsa untuk memastikan keselamatan serta pembebasan semua rakyat Malaysia dan peserta lain yang ditahan.
Dalam masa yang sama, Takiyuddin berpendirian kerajaan menggesa ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak dan memastikan Israel menghentikan sekatan dan ancaman terhadap misi kemanusiaan yang sah.
“Justeru kami menuntut, sekali gus menyokong penuh tindakan tegas dan segera kerajaan dalam isu ini. Israel mesti dipertanggungjawabkan dan suara Malaysia mesti jelas didengar di pentas dunia sebagai langkah diplomatik kita dalam membela hak sah rakyat Palestin dan inisiatif kemanusiaan global bagi membantu mereka yang teraniaya,” tambah beliau.-MalaysiaGazette















