Gambar rampasan ihsan Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA)

KUANTAN – Taktik tiga lelaki memproses dan mengedar ketum dari sebuah rumah di Kampung Padang 2, di sini berjaya dihidu pihak berkuasa.

Kesemua mereka ditahan penguatkuasa daripada Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Mitra semalam bersama lebih 100 kilogram daun ketum dan lebih 600 liter air ketum sudah diproses.

Menurut kenyataan di laman Facebook Briged Tenggara PGA, kesemua lelaki berusia masing-masing 41 tahun, 48 tahun dan 57 tahun ditahan jam 6.30 pagi di rumah terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemui 163.45 kilogram daun ketum dan 796 bungkus air ketum yang sudah diproses anggaran 636.8 liter di lokasi serbuan.

“Tiga unit telefon bimbit dan peralatan menyimpan ketum turut dirampas dengan anggaran rampasan bernilai RM30,142.00,” katanya.

Tambahnya, kesemua rampasan tersebut telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast