MELAKA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menerima peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi melaksanakan pelbagai program, termasuk menaik taraf dan membina kemudahan awam di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, peruntukan itu diterima menerusi Program Santuni Madani bagi memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Menurutnya, antara projek yang dilaksanakan menerusi peruntukan berkenaan ialah menaik taraf masjid, surau dan tanah perkuburan serta membina gelanggang futsal baharu.
Peruntukan itu turut digunakan bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan belia.
“Program ini bukan syok sendiri, tetapi memberi manfaat yang cukup besar kepada masyarakat setempat hasil hubungan dan kerjasama baik antara DUN Telok Mas dengan UPNM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Ajak Sekampung Santuni Madani di padang Sekolah Kebangsaan Alai di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UPNM, Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Menurut Abdul Razak, Program Santuni Madani yang sebelum ini dikenali sebagai Kampung Angkat Madani memberi impak besar terhadap pembangunan luar bandar.
Katanya, Program Ajak Sekampung Santuni Madani yang berlangsung hari ini juga merupakan antara inisiatif UPNM di kawasan berkenaan.
Beliau berharap kerjasama dan program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat masyarakat setempat.

Sementara itu, Arman Rumaizi berkata, peruntukan yang disalurkan kepada DUN Telok Mas merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial UPNM dalam membantu pembangunan masyarakat luar bandar.
Menurutnya, Kampung Alai yang terletak dalam DUN Telok Mas merupakan Kampung Angkat Madani UPNM.
“Kita bukan sekadar mahu memberi sumbangan, tetapi sumbangan itu harus memberi impak yang besar kepada pembangunan luar bandar.
“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial UPNM kepada DUN Telok Mas dan kerja-kerja amal ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagaimana yang diharapkan penduduk DUN Telok Mas,” katanya.
Pada Program Ajak Sekampung Santuni Madani itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pertandingan memasak, sukaneka, pemeriksaan kesihatan dan pameran yang turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). – MalaysiaGazette
















