Kelab UMNO Luar Negara United Kingdom, Muhammad Amir Ikram Mohd Fadil ketika menyampaikan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Anak Malaysia yang menuntut dan membina kerjaya di luar negara tidak mahu dilihat sekadar sebagai kelompok yang ‘jauh di mata’, sebaliknya mahu kepakaran dan pengalaman mereka dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Perkara itu disuarakan wakil Kelab UMNO Luar Negara United Kingdom, Muhammad Amir Ikram Mohd Mohd Fadil ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.

Beliau berkata, UMNO perlu melihat puluhan ribu rakyat Malaysia di luar negara sebagai sebahagian daripada ‘talent pool’ negara yang mampu membawa pulang ilmu, jaringan, pengalaman dan kepakaran yang diperoleh di perantauan.

Katanya, Malaysia tidak seharusnya takut melihat anak muda keluar menimba pengalaman di seluruh dunia, sebaliknya perlu memastikan mereka sentiasa mempunyai laluan untuk kembali menyumbang kepada tanah air.

“Daripada brain drain, kita mesti bergerak kepada brain gain dan brain circulation. Bakat Malaysia mendunia, tetapi tetap menyumbang kepada negara,” ujarnya.

Muhammad Amir berkata, Kelab UMNO Luar Negara (KULN) boleh memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan bakat Malaysia di luar negara dengan institusi seperti MARA, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan industri strategik negara menerusi cadangan Global TVET Talent Network.

Beliau berkata, agenda berkenaan penting ketika Malaysia mahu membina sebuah negara berkemahiran, lebih-lebih lagi apabila kadar kebolehpasaran graduan TVET mencapai 98.7 peratus.

“TVET bukan lagi pilihan kedua. TVET ialah pilihan masa hadapan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Amir turut menegaskan UMNO perlu memperkukuh kehadiran dalam ruang digital kerana media sosial kini menjadi medan penting dalam membentuk pandangan, persepsi dan keputusan masyarakat.

Menurutnya, walaupun berada jauh dari tanah air, anak Malaysia di luar negara tetap mengikuti perkembangan politik, isu rakyat dan gerak kerja UMNO melalui platform digital.

“Kalau rakyat berada di ruang digital, UMNO juga mesti berada di sana. Digital mesti menjadi budaya organisasi UMNO,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan KULN dan persatuan mahasiswa diperkasakan sebagai Community Emergency Response bagi membantu menghubungkan rakyat Malaysia di luar negara dengan kedutaan ketika berlaku krisis.

Dalam masa sama, ujarnya, aset seperti Malaysia Hall perlu diperkukuh sebagai pusat komuniti dan perlindungan rakyat Malaysia.

Muhammad Amir yang merupakan graduan Seni Bina Dalaman dari Newcastle, United Kingdom, berkata, pengalaman anak muda di luar negara perlu dimanfaatkan untuk membawa perubahan kepada Malaysia, bukan hanya menjadi pengalaman peribadi.

“Kita mahu pergi merantau mencari ilmu, tetapi suatu hari nanti kita mahu membawa yang terbaik itu pulang kepada Malaysia,” katanya.

Beliau pada masa sama menyifatkan ruang politik mahasiswa yang semakin terbuka sebagai peluang untuk generasi muda bersuara dengan lebih berani, namun perlu dilakukan berasaskan ilmu, fakta dan adab.

“Generasi kami tidak mahu hanya disuruh percaya. Generasi kami mahu tahu mengapa kami patut percaya,” tegas beliau.

Mengakhiri perbahasannya, Muhammad Amir berkata, anak muda di luar negara tetap dekat dengan perjuangan UMNO dan bersedia menjadi penghubung antara parti dengan komuniti Malaysia di seluruh dunia.

“Kami sudah melihat gelombang biru. Kami sudah merasai gelombang biru. Kini agenda Malaysia Biru,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here