Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri (tengah) turut bersama-sama warga pelajar bagi menyatakan sokongan dalam penganjuran aktiviti kelestarian alam.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tampil dengan pendekatan berbeza sempena Minggu Orientasi pelajar baharu sesi akademik 2025/2026 apabila lebih 2,000 mahasiswa diberi peluang merasai pengalaman unik melalui program Go
Green UMT.

Berbeza dengan rutin orientasi kebiasaan yang hanya tertumpu pada sesi taklimat dan pengenalan universiti, pelajar dibawa keluar ke lapangan untuk menyertai aktiviti penanaman semula pokok bakau di kawasan sekitar kampus.

Usaha itu bukan sahaja menjadi simbolik kepada permulaan perjalanan akademik mereka malah sebagai tanda
komitmen bersama terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata inisiatif tersebut bertepatan dengan agenda kelestarian global yang diperjuangkan universiti dalam memastikan ekosistem marin dan pesisir pantai terus terpelihara.

“UMT bukan sekadar melahirkan graduan cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga individu yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar.

Penanaman bakau ini penting bagi melindungi kampus daripada risiko hakisan pantai dan pada masa sama mendidik pelajar mengenai peranan mereka dalam menyokong agenda kelestarian sejagat”.

Selain aktiviti penanaman bakau, program Go Green, UMT turut diselitkan dengan aktiviti pembersihan pantai sekitar serta Sand Therapy yang membolehkan pelajar merasai sendiri keajaiban rawatan semula jadi pasir pantai.

Bagi Thivaashini A/P Pulegenthi, 19, pelajar baharu Program Sarjana Muda Sains Kimia, pengalaman itu merupakan sesuatu yang menakjubkan dan merupakan kali pertama dalam hidunya.

“Saya rasa sangat bertuah kerana dapat memulakan pengajian di UMT dengan pengalaman berharga seperti ini. Aktiviti menanam bakau memberi kesedaran kepada saya betapa pentingnya menjaga alam sekitar, manakala terapi pasir pula sesuatu yang
menyeronokkan dan menenangkan sambil berkenal-kenalan antara satu sama lain,” katanya dengan penuh teruja.

Penganjuran aktiviti berorientasikan alam sekitar itu membuktikan kampus UMT merupakan kampus ideal berada di pesisir pantai sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti yang sinonim dengan bidang sains marin, kelestarian serta pembangunan mampan selaras dengan Pelan Pembangunan Mampan (SDG). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast