KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim, menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh membiarkan rejim Israel terus bertindak sewenang-wenangnya tanpa sebarang akibat (act with impunity).
Menurut beliau, tindakan yang dilakukan terhadap rakyat Malaysia baru-baru ini merupakan satu teladan baharu (precedent) yang amat berbahaya dan sama sekali tidak boleh diterima, dimaafkan atau dibiarkan tanpa tindak balas sewajarnya.
“Kerajaan Malaysia perlu mengambil pendirian tegas dan berani dengan menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), badan-badan hak asasi manusia antarabangsa serta negara-negara ASEAN bersama-sama mengutuk kekejaman Israel dan melaksanakan tekanan diplomatik secara kolektif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Mohamad Shafiq turut menggesa kerajaan meneliti semua pilihan yang ada bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Israel di peringkat antarabangsa, termasuk memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) serta menyokong siasatan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Katanya, tindakan pasukan Pertahanan Israel (IDF) jelas melanggar prinsip asas kebebasan pelayaran di laut lepas seperti yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), yang menetapkan bahawa perairan antarabangsa tidak tertakluk kepada kedaulatan mana-mana negara.
“Peserta Malaysia dalam misi kemanusiaan Sumud Flotilla adalah orang awam, dengan menyasarkan mereka merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tegasnya.
Tambah beliau lagi, insiden yang berlaku bukan sekadar penahanan tetapi merupakan pencerobohan, penculikan dan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Malaysia tidak boleh berdiam diri terhadap pelanggaran ini. Kita mesti tampil mempertahankan prinsip keadilan serta kedaulatan undang-undang antarabangsa,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















