KUALA LUMPUR – “Mereka layan kami seperti binatang malah mereka turut membuang ubat-ubatan kami,” kata Hazwani Helmi, salah seorang delegasi Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla mengenai pengalaman beliau diculik tentera Israel.
Beliau yang menyertai misi itu bersama kakaknya, Heliza Helmi berkata demikian ketika ditanya pemberita sebaik tiba di lapangan terbang Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan.
“Ia (pengalaman diculik tentera Israel) ibarat satu bencana besar, mereka bukan sahaja tidak memberikan kami makanan dan minuman bersih malah mereka turut mengheret Greta (Thurnberg) serta meletakkan bendera Israel ke mukanya.
“Saya rasa dunia perlu tahun betapa kejamnya Israel,” tambahnya lagi.
Perkara itu turut diakui, seorang peserta dari Amerika Syarikat, Windfield Bifr yang mengatakan tentera Israel mengheret dan menolak Greta dengan kasar bagi memberi tekanan kepada peserta-peserta lain.
“Saya duduk tidak jauh dari Greta, saya lihat sendiri mereka mengheret dan menolak beliau dengan kasar, menarik beliau masuk ke sebuah bilik. Mereka menggunakan Greta untuk menakut-nakutkan kami. Ini hanya sebahagian kecil daripada apa yang dirasai oleh rakyat Palestin,” katanya ketika ditemubual wartawan sebuah stesen televisyen Arab.
Sementara itu, seorang lagi delegasi Malaysia Iylia Balqis berkata, tentera Israel mengenakan terlalu banyak “protokol” yang hanya untuk membuat peserta merasa jijik dengan diri sendiri.
“Mereka minta kami menyalin pakaian sebelum meletakkan kami di dalam sangkar di bawah matahari terik. Mereka juga tidak menghormati kami sebagai hijabi, ada sesetengah wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab. Kami hanya minum air paip di dalam tandas,” katanya lagi.
Konvoi GSF yang berlayar sejak bulan lepas bermatlamat untuk membawa bantuan kemanusian ke Gaza bagaimanapun terkandas selepas bot-bot mereka yang dinaiki lebih 400 aktivis dan sukarelawan dipintas dan diculik tentera Israel di perairan antarabangsa.
Mereka kemudiannya ditahan di Penjara Negev yang terkenal sebagai sebuah pusat tahanan paling teruk dan telah menahan ribuan penduduk Palestin.
Semalam, 137 aktivis dari 13 negara termasuk 23 delegasi Malaysia dan 36 rakyat Turkiye telah dibebaskan sebelum diterbangkan ke Istanbul. -MalaysiaGazette
















