Seramai 23 aktivis kemanusiaan Malaysia daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan oleh rejim Israel kini berada di Istanbul, Türkiye.

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas dan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan keselamatan 23 aktivis kemanusiaan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan oleh rejim Israel membuktikan keprihatinan dan komitmen kerajaan mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fazreen Fauzi berkata, pihaknya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Perdana Menteri serta Kerajaan Madani kerana berjaya menolak segala bentuk penindasan.

“Usaha bersepadu yang diterajui oleh Perdana Menteri bersama Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) membuktikan Kerajaan Malaysia Madani konsisten dalam memperjuangkan keadilan di peringkat antarabangsa.

“Ia juga menyerlahkan kewibawaan diplomasi Malaysia yang kekal disegani oleh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, GPMS menzahirkan penghormatan tertinggi kepada para aktivis misi GSF yang disifatkan sebagai ‘wira kemanusiaan’ negara atas keberanian dan ketabahan luar biasa mereka menyampaikan mesej solidariti rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.

“Keberanian mereka mencerminkan semangat Malaysia Madani yang berpaksikan kasih sayang, keadilan dan perjuangan nilai kemanusiaan,” ujarnya.

Fazreen menegaskan, kejayaan pembebasan kesemua aktivis berkenaan membuktikan keberkesanan pendekatan diplomasi Malaysia yang berteraskan prinsip serta nilai kemanusiaan sejagat selaras dengan kepimpinan Anwar.

“GPMS berdiri teguh bersama kepimpinan negara dan seluruh rakyat dunia dalam menyokong perjuangan membebaskan bumi Palestin.

“Semoga Malaysia terus menjadi negara yang dihormati, berdaulat dan menjadi suara nurani dunia,” katanya lagi.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut menzahirkan pandangan sama terhadap Anwar susulan kepulangan wira dan wirawati Malaysia yang telah selamat tiba di Istanbul, Türkiye semalam.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kecekapan serta ketegasan diplomasi beliau melalui Wisma Putra dalam memastikan keselamatan semua peserta Malaysia terjamin serta urusan kepulangan mereka berjalan lancar.

“Keberhasilan diplomasi ini mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan dan solidariti sejagat terhadap rakyat Palestin. Ia juga membuktikan bahawa pendekatan diplomasi berprinsip yang berteraskan nilai Madani mampu mengimbangi tuntutan kemanusiaan dan keselamatan nasional dengan penuh wibawa,” katanya.

Dalam pada itu, ABIM turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat Kerajaan Türkiye, pihak berkuasa antarabangsa serta badan-badan kemanusiaan yang terlibat dalam proses menyelamat dan merawat para aktivis Malaysia termasuk bantuan psikologi dan kesihatan yang diberikan sejurus ketibaan mereka di Istanbul.

Susulan kejayaan tersebut, ABIM mencadangkan agar usaha diplomatik yang sedang digerakkan kerajaan diteruskan bagi menggesa pembebasan baki tahanan misi flotilla dari negara lain yang masih ditahan oleh rejim Zionis Israel.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh solidariti antarabangsa, tetapi turut memperlihatkan kepimpinan moral Malaysia dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat dan undang-undang antarabangsa,” ujar Ahmad Fahmi lagi.

ABIM turut menegaskan, walaupun Malaysia bersyukur dengan berita gembira itu namun fokus dan tumpuan terhadap nasib rakyat Gaza tidak akan berkurang malah akan terus diperkukuh.

“Perjuangan untuk menghentikan kekejaman rejim Zionis dan membebaskan Palestin sepenuhnya mesti diteruskan dengan semangat yang lebih kuat dan istiqamah,” tambahnya.

Menurut Ahmad Fahmi, kejayaan diplomasi memperlihatkan Malaysia bukan sekadar melindungi rakyatnya tetapi juga berperanan sebagai suara moral di pentas antarabangsa dalam menegakkan keadilan dan kemanusiaan.

Sehubungan itu, ABIM menyarankan agar Malaysia tampil sebagai pusat koordinasi diplomasi kemanusiaan serantau dengan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil dan rakan-rakan antarabangsa bagi memperkukuh jaringan advokasi, bantuan serta misi kemanusiaan.

“ABIM mendoakan agar semua urusan kepulangan mereka ke tanah air dipermudahkan dan agar semangat keberanian mereka menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast