Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berucap pada Ceramah Pakatan Harapan pada Jelajah Pakatan Harapan Selangor Parlimen Kota Raja di Jalan Kebun, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 MEI 2026.
Danish Hairudin

KUALA LUMPUR –  Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh didakwa cuba mengalihkan fokus terhadap isu sebenar selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji didedahkan kepada umum.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, perkara itu berlaku selepas dapatan RCI berkenaan didakwa tidak menepati naratif politik yang mahu dibawa Akmal.

Menurutnya, Akmal sebelum ini antara pihak yang lantang mendesak supaya laporan RCI Tabung Haji didedahkan.

“Namun apabila apa yang didedahkan tidak menepati naratif politik yang mahu dibawa, beliau cuba mengalihkan tiang gol pula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Danish berkata, persoalannya kini sama ada semua pihak perlu mengikut telunjuk Akmal dan UMNO sehingga mendapat jawapan yang dikehendaki mereka.

Beliau berkata, RCI Tabung Haji bukan ditubuhkan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, justeru ketidakpuasan terhadap dapatan laporan itu tidak seharusnya dialihkan kepada kerajaan hari ini.

“UMNO ada ahli Parlimen. UMNO juga sebahagian daripada kerajaan. Kalau ada perkara dalam laporan RCI yang dirasakan tidak lengkap, bawa ke Parlimen, bahas, tanya dan desak jawapan,” tegasnya.

Danish berkata, jika terdapat bukti baharu, ia wajar diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat tanpa mengira siapa yang terlibat.

“Kita tidak perlu lindungi sesiapa. Tetapi jangan pula perkara besar yang sudah ada depan mata dibuat-buat tidak nampak,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan mengapa isu seperti ‘creative accounting’, kelemahan tadbir urus dan pelaburan yang mengalami kerugian sehingga 100 peratus tidak menjadi tumpuan.

“Ini semua persoalan besar yang sepatutnya Saudara Akmal dan UMNO jawab dan perjuangkan. Anehnya, bab ini senyap pula,” soal beliau.

Mengulas gesaan supaya laporan RCI didedahkan sepenuhnya, Danish berkata, beliau bersetuju dengan cadangan itu tetapi menegaskan semua pihak perlu bersedia menerima keseluruhan dapatan termasuk perkara yang mungkin tidak selesa untuk UMNO sendiri.

“Dedahkan semuanya. Bahaskan semuanya. Termasuk perkara yang mungkin tidak selesa untuk UMNO sendiri. Jangan hanya memilih bahagian tertentu untuk mengukuhkan naratif politik,” katanya.

Danish berkata, Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan amanah yang membabitkan wang jutaan pendeposit.

“Tabung Haji bukan milik UMNO. Bukan milik Keadilan. Bukan milik mana-mana parti. Ini duit dan amanah jutaan pendeposit.

“Kalau benar mahu kebenaran, terima kebenaran itu sepenuhnya. Jangan cari RCI sampai jumpa jawapan yang kita suka,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here