KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki meminta semua supaya tidak mempersoal misi kemanusiaan ke Gaza meskipun bantuan yang dihantar tidak kesampaian ekoran kapal-kapal sukarelawan dipintas daripada memasuki perairan wilayah itu.
Beliau yang juga pengasas Yayasan Afdlin Shauki berkata, tujuan misi tersebut bukan semata-mata menghantar bantuan namun sebenarnya untuk menyedarkan dunia mengenai kepentingan untuk menembusi Gaza.
“Kalau kita betul-betul lihat, tujuan mereka bukan untuk menghantar barang semata-mata. Hantar barang itu, kalau ada rezeki akan lepas.
“Mereka tahu bahawa siapa yang masuk Fortilla, akan ditangkap dan kita tidak tahu apa Israel akan buat. Namun mereka sedar, jika mereka ditangkap satu dunia akan bangun.
“Itulah keberanian mereka. Pada saya siapa yang akan pergi, tidak payah kita persoalkan. Kita perlu ucapkan terima kasih kerana mereka berani letak nyawa untuk rakyat Palestine,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kepada pihak media selepas menyerahkan tanda penghargaan kepada Kedutaan Republik Turkiye oleh yayasan itu di Pusat Bahasa dan Kebudayan Türkiye di sini hari ini.
Afdlin menyerahkan surat penghargaan dan sejambak bunga kepada dua guru yang bertugas di pusat tersebut sebagai tanda terima kasih rakyat Malaysia atas bantuan dan keprihatinan kerajaan Turkiye dalam memudahkan kepulangan sukarelawan Malaysia daripada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Afdlin yang juga Ketua Cabang PKR Setiawangsa turut ditanya tindakan sesetengah selebriti yang tidak menggunakan peluang untuk menarik lebih ramai pengikut media sosial mereka untuk sama-sama menyedarkan masyarakat mengenai misi kemanusiaan di Gaza.
Menjelaskan perkara itu, beliau mengaku pernah berada dalam `kedudukan’ selebriti yang tidak tahu menahu mengenai perkembangan dunia.
Ujar pelakon tersebut, beliau hanya ingin menjaga diri dan keluarganya namun pada 2012, Allah SWT menggerakkan hatinya untuk mengetahui dengan lebih dekat penderitaan masyarakat yang ditindas rejim Israel.
“Sekarang ini mungkin kita tidak kisah dan tidak peduli kerana kita tidak merasa dekatnya permasalahan ini kepada kita.
“Namun janganlah pula kita ingat, mereka yang tidak keluar di media sosial ini tidak berbuat apa-apa. Ini salah.
“Ramai sahabat yang buat tapi mereka tidak mahu cerita. Memang betul, sebagai artis kita gunakan senjata kita. Namun ada yang suka buat begitu, ada yang tidak kerana setiap orang caranya berbeza,” ujar beliau.
Mengambil contoh penyanyi Zizi Kirana, ujarnya, umum mengetahui beliau sebelum ini adalah penyanyi hip-hop, namun siapa yang menyangka satu hari beliau akan meletak dirinya dalam bahaya dengan menyertai misi kemanusiaan. – MalaysiaGazette
















