KUALA LUMPUR – Salah seorang delegasi Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF), Rahmat Ikhsan menzahirkan kebimbangan beliau terhadap nasib baik aktivis yang masih berada dalam tahanan Israel.
Menurut pentadbir laman sosial beliau, pendakwah yang lebih dikenali sebagai PU Rahmat itu memaklumkan, beliau bimbang kerana hari ini sudah masuk hari kelima penahanan aktivis-aktivis tersebut dan mereka dinafikan hak untuk mendapat air bersih dan ubat-ubatan.
Tambahnya, doktor juga disekat daripada bertemu dengan aktivis-aktivis yang cedera dan sakit.
“Aktivis wanita direntap tudung dan rambut, aktivis berketurunan Arab dikasari dan hak beribadah diganggu.
“Kita wajib berterusan menekan Israel melepaskan baki aktivis walaupun mungkin negara asal mereka tidak peduli akan nasib aktivis warganegaranya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut hantaran tersebut, PU Rahmat tidak bimbang mengenai hal-hal berkaitan diri beliau dan rakan-rakannya yang dibogel dan dicederakan kerana Malaysia serta barisan peguam akan membuka fail undang-undang terhadap Israel.
Tambahnya, pendakwah itu juga sangat risaukan penduduk Gaza yang sedang kebuluran dan memikirkan bantuan yang dibawa GSF tidak sampai kepada mereka kerana dirampas oleh Israel.
“Dua tahun penuh penyeksaan buat Gaza, merekalah fokus kita.
“Ya Allah, ampunilah kami dalam kekurangan melakukan jihad dan terimalah amalan kami.
“Maaf juga daripada pihak kami jika gagal menulis dengan baik mesej Tuan Rahmat Ikhsan,” kata pentadbir laman Facebook beliau.
Esok, 7 Oktober 2023 genap dua tahun peningkatan konflik sehingga mengorbankan 67,000 orang dan 169,430 lagi cedera akibat diserang Israel. -MalaysiaGazette















