KUALA LUMPUR – Seorang bapa memukul anak perempuannya berusia 12 tahun sehingga dia melarikan diri dari rumah di Kepong, baru-baru ini gara-gara kanak-kanak itu tidak mengemas dapur dan mencuci pinggan
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, susulan itu suspek berusia 42 tahun direman empat hari bermula semalam sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Hasil siasatan mendapati, lelaki terbabit bertindak demikian adalah kerana kanak-kanak terbabit tidak mencuci pinggan dan mengemas dapur.
“Semakan turut mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang paip tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Rabu untuk tindakan lanjut.
Terdahulu media melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang pada Sabtu sebelum ditemui orang awam di sebuah kedai di Metro Prima, Kepong.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan sebelum mendapati dia mengalami lebam di bawah bibir, calar di belakang badan dan sakit di bahagian kepala. – MalaysiaGazette
















